Ikuti Kami:

Genting SkyWorlds Raikan Pengunjung Ke-1 Juta Tahun 2025, Keluarga Dari Pahang Jadi Tetamu Bertuah!

Genting SkyWorlds Raikan Pengunjung Ke-1 Juta Tahun 2025, Keluarga Dari Pahang Jadi Tetamu Bertuah!

Taman Tema Genting SkyWorlds meraikan pencapaian penting apabila secara rasmi menyambut kedatangan pengunjung ke-1 juta bagi tahun 2025, satu kejayaan yang menunjukkan perkembangan positif dan peningkatan populariti destinasi itu dalam kalangan pelancong serantau dan antarabangsa.

Pengunjung bertuah bagi pencapaian bersejarah ini ialah empat beradik dari Pahang yang sedang berkunjung untuk meluangkan masa keluarga di taman tema tersebut.

Zawani Zamri, 28, bersama adik-beradiknya, Zuriatina (23), Adib (20) dan Adlee (15), terkejut apabila mereka dibawa ke pentas utama untuk menerima sambutan meriah penuh konfeti, menjadikan detik itu sebagai pengalaman yang tidak dijangka dan amat bermakna.

Bagi meraikan pencapaian itu, mereka dihadiahkan empat Pas Tanpa Had Genting SkyWorlds berserta satu pakej sesi bergambar keluarga istimewa untuk merakam detik bersejarah tersebut.

“Kami tidak menyangka akan menjadi pengunjung ke-1 juta. Ia benar-benar di luar jangkaan dan kami amat terkejut,”

“Kami akan memanfaatkan pas ini sebaiknya, meneroka semua permainan hari ini dan menikmati masa bersama.” kata Zawani, mewakili adik-beradiknya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, berkata pencapaian angka satu juta pengunjung tahun ini menzahirkan daya tarikan dan sambutan berterusan terhadap Genting SkyWorlds.

“Lebih bermakna apabila pencapaian ini diraikan bersama sebuah keluarga dari Pahang. Ia mengingatkan kami tentang kegembiraan dan memori indah yang terus tercipta untuk pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

“Kami berharap dapat menyambut lebih ramai pengunjung menjelang Visit Malaysia 2026,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Genting SkyWorlds turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan Studio Plaza Immersive Show pada 1 Disember 2025.

Terletak di altitud tertinggi di Malaysia, Studio Plaza menjanjikan pengalaman imersif memukau melalui pemasangan interaktif, unjuran LED yang menawan serta audio ruang 3D.

Di samping sambutan itu, taman tema berkenaan turut menawarkan promosi Last Call bagi Pas Tanpa Had yang menyaksikan pendaftaran baharu boleh menikmati potongan 30% pada harga hanya RM211, bermula 18 November hingga 31 Disember 2025.

Pas ini menawarkan akses tanpa had selama 365 hari, termasuk sehingga tiga tempahan Virtual Queue percuma pada setiap lawatan.

Pencapaian pengunjung ke-1 juta ini mengukuhkan lagi kedudukan Genting SkyWorlds sebagai salah satu destinasi keluarga terkemuka di rantau ini.

Komen
Loading...