GenKRU The Finale One More Time: Konsert Besar KRU Tutup Tirai Tahun 2025
- oleh Mohd Indera
- 29 Sep 2025 5:53 pm

Kumpulan legenda KRU bakal menutup tirai tahun 2025 dengan konsert terbesar mereka, GenKRU The Finale One More Time, yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November ini.
Konsert ini menandakan pencapaian luar biasa bagi KRU, yang pada tahun ini telah menganjurkan lima konsert berskala besar, termasuk empat persembahan di Axiata Arena Bukit Jalil sebelum ini.
Penganjuran ini bukan sahaja mencatat full house, malah membolehkan KRU memenangi dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) iaitu Most Show in a Single Concert Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour.
Menurut Iman Tang, penganjur dari Icon Entertainment, keputusan menganjurkan konsert kelima adalah hasil maklum balas memberangsangkan daripada peminat dan sokongan penaja.
“GenKRU The Finale One More Time akan diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025. Selepas empat hari konsert sebelum ini, kami memilih untuk mengadakan finale kali terakhir kerana permintaan peminat sangat tinggi,” katanya.
Iman menambah, untuk kali ini, pihak penganjur menambah kategori berdiri bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman menari sepanjang konsert.
“Pada konsert lalu, walaupun tiket duduk, ramai peminat tetap berdiri untuk menari dan bergembira. Jadi, untuk kali ini, kami sediakan kategori berdiri agar pengalaman menonton lebih menyeronokkan dan interaktif,” jelasnya.
Sementara itu, KRU menyifatkan konsert kelima ini sebagai penutup tahun yang istimewa serta bukti bahawa pemuzik tempatan mampu menjadi penggerak industri hiburan.
“Sejujurnya, kami tidak pernah terfikir akan ada hari kedua, ketiga, apatah lagi kelima. Namun, ia menunjukkan pemuzik tempatan tidak pernah menjadi anak tiri dalam penganjuran konsert. Kami mahu menjadi gamechangers kepada industri sendiri,” kata Norman, mewakili KRU.
Tiket dijual mulai 2 Oktober 2025, pukul 11 pagi melalui Ticket2U, dengan harga antara RM188 hingga RM558.