Genius Aulad Raikan 25 Tahun Dengan Family Fun Run Di MAEPS Serdang
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Genius Aulad, jenama prasekolah Islamik terkemuka di Malaysia, meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya hari ini dengan penganjuran Family Fun Run 2025 yang penuh warna-warni dan sarat nilai pendidikan di MAEPS Serdang.
Acara yang disertai hampir 10,000 peserta termasuk ibu bapa, anak-anak dan warga pendidik dari lebih 45 cawangan Genius Aulad, menjadi lambang kukuh kepada komitmen institusi itu dalam membina asas pendidikan awal yang menyeluruh, menyeronokkan dan berpaksikan nilai kekeluargaan.
Dengan tema “It’s a Small World After All”, acara larian sejauh 2.5 kilometer itu bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya memperkenalkan elemen pembelajaran melalui titik pemeriksaan interaktif seperti pejabat pos, hospital, kedai roti dan balai bomba yang direka menyerupai bandar mini bagi memberi pengalaman dunia sebenar kepada kanak-kanak.
Menurut Pengasas Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias, sambutan kali ini bukan sekadar meraikan pencapaian masa lalu, tetapi sebagai isyarat bahawa pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar dan masyarakat.
“Alhamdulillah, suasana hari ini sangat mengharukan. Saya melihat ibu bapa dan anak-anak berjalan bersama, berpimpinan tangan, menikmati detik kecil yang sangat bermakna. Inilah erti pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi membina hubungan dan nilai,” kata Zaliza.
Pengasas Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias.
Tambah beliau, pelbagai elemen komuniti diintegrasikan ke dalam acara ini untuk menanam kesedaran bahawa pendidikan juga berlaku di luar bilik darjah.
“Kami mahu anak-anak pegang poskad, melihat sendiri kerja anggota bomba, merasai suasana hospital atau membeli roti di kedai simulasi. Semua ini adalah pendidikan sebenar yang membina keterampilan sosial dan emosi mereka,” jelasnya.
Family Fun Run 2025 turut menampilkan detik istimewa menerusi pelancaran semula Lagu Sekolah Genius Aulad, lagu pendidikan yang asalnya diterbitkan pada tahun 2005 menerusi kolaborasi bersama kumpulan nasyid Raihan dan Islamic Relief Worldwide.
“Lagu ini ditulis oleh anak Genius Aulad sendiri yang kini sudah pun mempunyai anak sendiri, dan hari ini dinyanyikan semula oleh generasi baru Genius Aulad. Insya-Allah, kami akan menerbitkan video muzik rasmi sebagai hadiah buat semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” ujar Zaliza.
Beliau turut memaklumkan bahawa Genius Aulad bukan sahaja institusi prasekolah, malah turut berperanan sebagai konsultan pendidikan kepada siri animasi popular seperti Omar & Hana dan Didi & Friends, mencerminkan peranan holistik institusi itu dalam dunia pendidikan kanak-kanak.
Pengasas Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias (Kanan) bersama Pengetua Genius Aulad, Farah Hanisah (kiri) turut menyanyikan lagu tema Genius Aulad bersama anak-anak Genius Aulad.
Acara turut dimeriahkan dengan festival kekeluargaan, termasuk trak makanan, ruang berkelah, aktiviti tajaan, reruai bergambar serta penyampaian medal penamat dan hadiah kepada peserta.
Seorang guru dan kini menjadi Pengetua Genius Aulad, Farah Hanisah, yang telah bersama Genius Aulad selama 11 tahun, menyatakan rasa bangga melihat pertumbuhan institusi itu.
“Sungguh menginspirasikan melihat bagaimana kami telah menyentuh kehidupan begitu ramai keluarga. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti ini yang semakin berkembang,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2000, Genius Aulad kini mempunyai lebih 80 cawangan di Malaysia dan Indonesia, dan bernaung di bawah GAINS Education Group Sdn Bhd yang turut mengendalikan IDRISSI International School dan Sekolah Tinta.
Menerusi sambutan ini, Genius Aulad membuktikan bahawa pendekatan pendidikan awal yang menggabungkan kasih sayang, nilai komuniti dan pembelajaran aktif kekal relevan dan diperlukan dalam membentuk generasi masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut, layari www.geniusaulad.edu.my atau ikuti @geniusaulad di media sosial.