Ikuti Kami:

“Genggam” – Lagu Tema Langit Ke Tujuh Yang Sarat Dengan Makna

“Genggam” – Lagu Tema Langit Ke Tujuh Yang Sarat Dengan Makna

Lagu Genggam, hasil ciptaan Apwriter dan Afif Tarmizir, telah dipilih sebagai lagu tema bagi drama Langit Ke Tujuh yang disiarkan di Tonton.

Sejak pelancarannya pada 27 Januari 2025, lagu ini telah mendapat perhatian ramai kerana mesejnya yang mendalam serta gabungan elemen muzik moden dan tradisional Melayu.

Sebagai komposer dan penulis lirik, Apwriter meluahkan rasa syukurnya kerana karya ini dapat menjadi sebahagian daripada drama yang penuh emosi.

“Saya percaya Genggam memiliki potensi besar untuk sampai kepada khalayak yang lebih luas. Kerjasama dengan Afif Tarmizir, yang dicadangkan oleh pihak Alternate Records, telah membuahkan hasil yang sangat memuaskan. Vokal Afif ternyata sangat sesuai dengan pembawaan lagu ini. Penggunaan bahasa Melayu baku serta instrumen klasik Melayu memberikan sentuhan keunikan yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan pendengar,” katanya.

Dari segi penyusunan muzik, Noktah memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara unsur hip hop moden dan nuansa klasik Melayu diterjemahkan dengan sempurna dalam Genggam.

Afif Tarmizir teruja dengan Genggam kerana elemen hip hopnya mengingatkannya kepada kumpulan Nukilan yang berpengaruh dalam perjalanan muziknya.

“Walaupun sesi rakaman hanya memakan masa dua jam, prosesnya berjalan lancar berkat kerjasama yang baik dengan Apwriter. Kehadirannya membawa rentak rap yang segar dalam lagu ini. Saya melihat Apwriter sebagai seorang pendatang baharu yang berbakat besar, dengan karya yang berpotensi mencipta impak besar dalam industri muzik.” katanya.

Lagu Genggam menyampaikan mesej tentang pegangan hidup dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran dunia. Liriknya mengingatkan pendengar agar tetap teguh pada prinsip, agama, dan kepercayaan diri, walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan dan godaan.

Sebagai lagu tema Langit Ke Tujuh, Genggam bukan sahaja menguatkan jalan cerita drama ini tetapi turut memberikan impak emosi yang mendalam kepada penonton.

Bagi peminat muzik, Genggam kini boleh didengar melalui iTunes serta platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music.

Komen
Loading...