Ikuti Kami:

Gema Raya Putrajaya: Fasiliti Bertaraf Dunia, Namun Tawar Harga ‘Lantai’ Buat B40

Gema Raya Putrajaya: Fasiliti Bertaraf Dunia, Namun Tawar Harga ‘Lantai’ Buat B40

Penganjur festival Gema Raya Putrajaya 2026@PICC memberi jaminan bahawa meskipun acara itu diadakan di lokasi ikonik yang serba mewah, agenda membantu golongan berpendapatan rendah (B40) tetap menjadi keutamaan melalui penawaran harga produk yang munasabah.

Festival raya sulung yang diadakan di puncak tertinggi Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu komited menjadi platform yang meringankan beban rakyat, khususnya dalam mendepani kenaikan kos sara hidup menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, berkata pemilihan PICC yang dikenali dengan fasiliti bertaraf antarabangsa dan ruang berhawa dingin sepenuhnya tidak seharusnya menjadi penghalang bagi golongan B40 dan M40 untuk hadir membeli-belah.

Beliau turut menepis tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan festival itu sebagai eksklusif untuk golongan elit atau T20 sahaja.

“Sebagai penganjur, kami memberi jaminan harga yang ditawarkan di Gema Raya Putrajaya masih berpatutan dan mampu dibeli oleh kebanyakan rakyat.

“Malah, kami memastikan sikap peniaga di sini tidak mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menawarkan harga munasabah demi keberkatan yang wajar dicontohi usahawan lain,” katanya pada majlis pelancaran Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, di sini hari ini.

Menurut Rayme, faktor utama harga barangan dapat dikekalkan pada paras rendah adalah disebabkan kadar sewa lot niaga yang kompetitif walaupun tempoh penganjuran berlangsung selama 33 hari.

“Sewa di sini tidak membebankan, jadi peniaga tidak perlu meletakkan harga tinggi semata-mata untuk mendapatkan balik modal sewa. Ini adalah situasi menang-menang buat vendor dan pengunjung,” katanya.

Festival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini melibatkan penyertaan hampir 300 vendor dan menyasarkan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Selain fokus kepada jualan, festival ini turut diperkasakan dengan kehadiran artis ‘Gred A’ seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi, dan Nabila Razali yang akan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih.

Turut dilancarkan pada majlis sama adalah lagu tema festival berjudul Gema Raya yang ditulis dan dinyanyikan sendiri oleh Rayme bagi menzahirkan minat dan semangat beliau dalam industri muzik.

Program pengisian lain termasuklah slot kerohanian ‘Nur Ramadan’ yang menampilkan agamawan terkenal, serta aktiviti seni budaya dan teknologi bagi memberikan pengalaman raya yang lengkap buat pengunjung.

Komen
Loading...