Puncak tertinggi Putrajaya bakal menjadi tumpuan seluruh negara apabila festival Gema Raya Putrajaya 2026@PICC diangkat sebagai festival raya terbesar pertama yang akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 15 Februari depan.
Acara mega selama 33 hari itu menyasarkan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung, sekali gus meletakkan PICC sebagai destinasi ikonik bagi persiapan Aidilfitri seiring dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates), Rayme Zainal, berkata pemilihan PICC sebagai lokasi rasmi adalah disebabkan fasiliti bertaraf antarabangsa dan teknologi tinggi yang dimiliki bangunan tersebut, menjadikannya sangat sesuai untuk penganjuran berskala besar.
“Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sekadar bazar raya biasa. Ia adalah platform integrasi ekonomi kreatif yang bakal menghimpunkan hampir 300 vendor merangkumi sektor fesyen, kraf tangan, dan gaya hidup.
“Malah, kami menjangkakan limpahan rantaian ekonomi ini mampu mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan dan memperkasa usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates), Rayme Zainal.
Menurut Rayme, kejayaan tahun lalu melalui penganjuran Bazar Aidilfitri Anjung Syawal yang menarik lebih satu juta pengunjung menjadi penanda aras utama untuk Raydiates melangkah lebih jauh tahun ini.
Selain aktiviti perniagaan, festival yang mendapat kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut menyelitkan elemen kerohanian dan kebudayaan.
Antara tarikan utama termasuklah:
– Zon Gastronomi E.A.T.S: Menawarkan pengalaman kulinari di lokasi ‘hilltop’ yang unik.
– Program Kerohanian: Inisiatif kebajikan komuniti dan pengisian sepanjang Ramadan.
– Identiti Kebangsaan: Menonjolkan warisan seni tekstil negara seperti busana kebaya dan batik edisi khas Ramadan-Raya.
Raydiates yang ditubuhkan pada 2023 kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pengurus acara (EO) yang dipercayai oleh pelanggan sektor kerajaan dan swasta.
“Kami berhasrat menjadikan festival ini sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan dan platform pembangunan bakat belia yang berimpak tinggi, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa,” tambah beliau.
Festival Gema Raya Putrajaya 2026 dijadualkan berlangsung sehingga 19 Mac 2026, iaitu pada ambang malam 1 Syawal, bagi memberikan peluang kepada orang ramai melakukan persiapan raya dalam suasana yang eksklusif dan selesa.




