Ikuti Kami:

Gelora Puitika Tampilkan Ziana Zain, Umar Uzair & Orkestra Anak Jati Langkawi

Gelora Puitika Tampilkan Ziana Zain, Umar Uzair & Orkestra Anak Jati Langkawi

Konsert Gelora Puitika: Pop, Puisi; Puitis! bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan tiga elemen utama dalam seni persembahan iaitu muzik, puisi dan orkestra menerusi gabungan nama besar serta bakat muda tanah air di Panggung Seni Kota Mahsuri, Langkawi.

Konsert ini menyatukan Ratu Balada Negara, Ziana Zain bersama Umar Uzair, penyanyi dan penyair muda yang mewakili negara ke Festival Filem & Puisi Antarabangsa ke-12 di Athens, April lalu.

Lebih membanggakan, persembahan ini turut diiringi secara langsung oleh Orkestra Seni Kota Mahsuri, yang terdiri daripada pemuzik profesional kelahiran Langkawi.

Menurut penganjur, Gelora Puitika bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya merupakan pentas apresiasi seni yang mengangkat keindahan bahasa, muzik dan puisi melalui persembahan berbentuk muzikalisasi puisi, deklamasi dan nyanyian.

“Gabungan Ziana Zain, Umar Uzair dan Orkestra Seni Kota Mahsuri memberi nafas segar kepada konsep persembahan yang bukan hanya bertaraf nasional, malah turut mengangkat bakat anak tempatan Langkawi ke persada lebih tinggi,” kata wakil penganjur, Meja Poedjangga Malaysia.

Konsert ini juga menjadi sebahagian daripada usaha memeriahkan Tahun Melawat Kedah 2025 selain menyokong program kesenian sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bagi Umar Uzair, keterlibatannya bersama Ziana Zain dalam konsert ini memberi makna besar buat dirinya sebagai penggiat seni puisi dan muzik yang mewakili suara generasi muda.

“Saya amat teruja dan berbesar hati kerana diberi peluang berkongsi pentas bersama Ziana Zain yang saya anggap tokoh penting dalam industri muzik tanah air. Lebih istimewa, kami disokong Orkestra Seni Kota Mahsuri yang rata-rata terdiri daripada anak muda berbakat dari Langkawi,” katanya.

Penonton bakal dihidangkan dengan susunan lagu yang lebih bersifat puitis dan berbeza daripada persembahan Ziana Zain sebelum ini, selari dengan misi konsert yang mengetengahkan seni bahasa, sastera dan muzik sebagai wahana memperkukuh jati diri kebangsaan.

Gelora Puitika diusahakan oleh Meja Poedjangga Malaysia dan Majalah WM dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Lembaga Penggalakan Pelancongan Langkawi, Wisma Darul Aman dan The Frangipani Resort & Spa Langkawi.

Tiket masuk berharga RM35 dan boleh dibeli di sini.

Komen
Loading...