Gegaran Warisan Tampilkan Punisher, FOR, Sniperz di Sijangkang 18 Julai Ini
- oleh MDaily Editor
- 24 Apr 2026 6:59 pm
Demam muzik keras bakal melanda pinggir bandar apabila tiga nama besar dalam genre rock dan metal tempatan, Punisher, FOR, dan Sniperz, disahkan bakal berkongsi pentas dalam konsert Gegaran Warisan pada 18 Julai depan.
Acara yang dinanti-nantikan itu dijadualkan berlangsung bermula jam 8 malam di Warisan Hall Studio, Telok Panglima Garang, di sini.
Penganjur, Mentari Merah Entertainment dengan kerjasama Warisan Hall, turut mengumumkan penampilan istimewa legenda rock tanah air, Amir SYJ @ Sofea, yang bakal menambah seri malam penuh adrenalin tersebut.
Pengarah Urusan Mentari Merah Entertainment, Mohammad Noor Mustapha, menyifatkan konsert ini sebagai platform penting untuk merapatkan jurang antara generasi pemuzik keras selain menghidupkan semula memori zaman kegemilangan gig bawah tanah.

“Kami mahu mencipta satu malam yang membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan gig underground. Pada masa sama, kami mahu generasi muda lihat sendiri siapa nama-nama yang pernah membuka jalan kepada muzik keras di Malaysia.
“Kapasiti lokasi pula sengaja dihadkan kepada 300 penonton sahaja bagi mewujudkan suasana lebih intim dan rapat antara artis dengan peminat. Apabila ruang lebih kecil, auranya lebih terasa,” katanya.
Antara tarikan utama pastinya kemunculan Punisher, kumpulan perintis thrash metal negara yang ditubuhkan sejak 1987.
Dikenali dengan muzik agresif mirip Slayer dan Metallica, Punisher yang dianggotai Rosdan Baharom, Muhammad Ariffin, Zaid, Yunus, dan Mohd Faris bakal membawakan lagu-lagu ‘berhantu’ seperti Black September dan Wrath of the Machines.

Vokalisnya, Rosdan, menyifatkan persembahan kali ini sebagai pengalaman unik kerana mereka bakal beraksi bersama barisan kumpulan rock arus perdana.
“Keistimewaan konsert kali ini agak berlainan. Sebelum ini kami cuma beraksi di pentas grup bawah tanah, tetapi kali ini kami bersama grup rock dan heavy metal. Perbezaan genre bukan masalah kerana di luar negara pun, Metallica pernah menjadi band pembuka buat Ozzy Osbourne,” ujarnya.

Bagi kumpulan FOR, konsert ini menjadi medan terbaik untuk mempromosikan album terbaharu mereka, GEBANG MELANGIT, yang dilancarkan hujung tahun lalu. Selain beraksi dengan identiti Rock n Roll tegar, FOR turut diberi tanggungjawab besar untuk mengiringi persembahan Amir SYJ.
Sementara itu, kumpulan Sniperz yang terbang dari Ipoh berjanji akan membawakan tenaga maksimum dengan imej celoreng tentera yang sinonim dengan identiti mereka.

“Kami datang bukan sekadar pelengkap line-up, tetapi mahu tunjuk Sniperz juga ada ‘peluru’ sendiri. Dapat berdiri bersama nama yang kami dengar sejak kecil adalah satu penghormatan,” kata wakil kumpulan yang popular dengan elemen rock moden itu.
Selain sajian muzik berkualiti, penganjur turut menyediakan tarikan sampingan berupa cabutan bertuah buat pemegang tiket.

Hadiah utama berupa wang tunai RM1,000 menanti pemenang bertuah, manakala RM700 dan RM500 masing-masing bagi tempat kedua dan ketiga.
Tiket bagi menyaksikan konsert Gegaran Warisan dijual pada harga RM90 di talian 019 240 7994.
