Gegaran ‘Orang Kita’ di Zepp KL, Wings Buktikan Masih Berbisa
- oleh MDaily Editor
- 31 Jan 2026 11:25 am
Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam industri muzik apabila berjaya memukau kira-kira 2,000 peminat tegar dalam Konsert Wings Orang Kita yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.
Konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah menjadi saksi kepada penyatuan ‘Orang Kita’ gelaran buat peminat setia mereka yang memenuhi ruang acara seawal jam 7 malam.

Vokalisnya, Dato’ Awie, menyifatkan kehadiran luar biasa itu sebagai bukti sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap perjuangan seni mereka selama empat dekad.
”Malam ini yang hadir semua adalah ‘orang kita’. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang datang dan terus menyokong Wings hingga ke saat ini,” katanya.
Repertoar Mantap & Lagu Baharu
Sepanjang hampir tiga jam beraksi, Wings mempersembahkan lebih 24 buah lagu yang merangkumi lagu-lagu hits malar segar seperti Ingatkan Dia, Kota Kemusnahan, Opera Hidup, dan Hukum Karma.

Apa yang menarik, konsert sulung bagi tahun 2026 ini turut menyaksikan Wings mempertaruhkan empat buah lagu baharu iaitu Yes, I Know, Khalifah Empat, Burong Tujuh, dan Sang Kekasih, sekali gus memberi isyarat bahawa kumpulan itu masih produktif dalam menghasilkan karya segar.
Malam tersebut turut melakar sejarah tersendiri apabila Wings secara rasmi memperkenalkan dua ahli baharu, Arm (Bass) dan Pie (Drum).
Satu video khas majlis menandatangani penyertaan mereka turut ditayangkan di skrin besar, menandakan fasa baharu perjalanan kumpulan itu.
Dengan penyertaan dua pemuda berbakat tersebut, Wings kini tampil dengan barisan mantap yang terdiri daripada Dato’ Awie (Vokal), Sham (Gitar), Edrie Hashim (Gitar), Arm (Bass) dan Pie (Drum).
Tenaga yang ditampilkan oleh Arm dan Pie nyata memberi impak positif kepada kualiti bunyi Wings, menjadikan persembahan malam semalam antara yang paling bertenaga pernah disaksikan di lokasi ikonik tersebut.




