Ikuti Kami:

‘Gegar Panggung’ Tampilkan Search ‘Kiddin’ dan Spider Secara Percuma Sabtu Ini

‘Gegar Panggung’ Tampilkan Search ‘Kiddin’ dan Spider Secara Percuma Sabtu Ini

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menganjurkan acara muzik istimewa ‘Gegar Panggung’ yang menampilkan dua kumpulan rock legenda tanah air, Search ‘Kiddin’ dan Spider, bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Sabtu ini.

Konsert yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam itu merupakan sebahagian daripada pengisian program Semarak Seni @ Panggung, iaitu kalendar acara seni tahunan DBKL yang telah dilancarkan pada 13 Disember lepas.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran kali ini merupakan satu penghargaan istimewa kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan kumpulan ikonik tersebut secara percuma di pentas terbuka yang penuh bersejarah.

“Penampilan Search ‘Kiddin’ dan Spider dijangka menjadi tarikan utama memandangkan kedua-dua kumpulan ini sentiasa mencatatkan rekod jualan tiket habis terjual dalam setiap siri persembahan berbayar mereka sebelum ini.

“Inisiatif strategik ini bertujuan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya yang progresif, selain menarik pelancong domestik dan antarabangsa melalui acara seni berkualiti tinggi yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

Acara tersebut akan dikendalikan oleh hos Nadia Hasnan dan dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo serta Artis Budaya DBKL.

Secara keseluruhan, konsert itu akan berlangsung selama hampir dua jam dengan rangkaian lagu-lagu hits yang bakal menggegarkan pentas Panggung Anniversari.

Panggung Anniversari yang dibina pada awal 1960-an merupakan antara lokasi seni terbuka terawal di ibu kota dan pernah menjadi saksi kepada pelbagai konsert serta program hiburan utama negara sejak era 1970-an hingga 1990-an.

Melalui program Semarak Seni @ Panggung, DBKL menyasarkan untuk menghidupkan semula panggung berkenaan sebagai pusat aktiviti seni terbuka yang aktif sepanjang tahun, sekali gus menyemarakkan ekosistem seni dan budaya di ibu kota.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan malam Sabtu tersebut dan meraikan persembahan kumpulan legenda itu di pentas ikonik berkenaan.

Komen
Loading...