Ikuti Kami:

Gebyar Nusantara: Festival Seni, Pelancongan dan Kemeriahan Indonesia di Kuala Lumpur

Gebyar Nusantara: Festival Seni, Pelancongan dan Kemeriahan Indonesia di Kuala Lumpur

Gebyar Nusantara, sebuah festival bertemakan seni, warisan, dan pelancongan Indonesia, bakal menggamatkan Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), pada 30 November dan 1 Disember 2024.

Acara dua hari ini dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman unik untuk rakyat Malaysia meneroka keindahan Indonesia.

Festival ini meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-79 dan bertujuan mengukuhkan persahabatan erat antara kedua-dua negara.

Menurut Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono, Gebyar Nusantara adalah pentas untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan, dan hubungan rakyat.

“Festival ini tidak hanya menonjolkan kekayaan seni dan warisan Indonesia, malah memperkasakan lagi hubungan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara menerusi pelbagai aktiviti menarik,” katanya.

Festival yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, dengan kemasukan percuma.

Sepanjang acara, pengunjung berpeluang mendapatkan promosi pelancongan eksklusif untuk destinasi terkenal seperti Bali, Lombok, Bandung, dan Kalimantan.

Hidangan autentik Indonesia seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, Ayam Gepuk Top Global, dan Mama Medan turut ditawarkan.

Selain itu, variasi kopi popular dari pelbagai wilayah Indonesia akan menjadi tarikan istimewa.

Pengunjung bakal menikmati hiburan tanpa henti termasuk persembahan tradisional dan kontemporari daripada artis-artis terkenal Indonesia.

Nama-nama besar seperti Devano dan Maria Theodore akan turut serta dalam sesi bertemu peminat, manakala penyanyi Allen Anderson, kumpulan Kureiji, dan Patriot dijangka memeriahkan pentas dengan persembahan mereka.

Terowong interaktif Zona Merah yang unik turut disediakan, memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami budaya Indonesia secara lebih mendalam.

Selain hiburan, Gebyar Nusantara membuka peluang kepada pelaku industri pelancongan dan pengusaha kecil dan sederhana (UMKM) dari Malaysia dan Indonesia untuk menjalin kerjasama.

Hasil seni dan kraftangan Indonesia juga dipamerkan, memberikan ruang kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan pengkarya.

“Gebyar Nusantara bukan sekadar festival, tetapi platform untuk mempertemukan pemain industri pelancongan dan masyarakat umum bagi mengeratkan hubungan strategik,” tambah Indera.

Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh didapati di laman Facebook rasmi Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur: IndonesianEmbassyKualaLumpur.

Komen
Loading...