Ikuti Kami:

Gaza: Bantahan Pelajar AS Memuncak

Gaza: Bantahan Pelajar AS Memuncak

NEW YORK: Kelas di Columbia University ditukar kepada pengajian dalam talian, selepas bantahan terhadap perang di Gaza meningkatkan ketegangan dalam beberapa kampus di Amerika Syarikat (AS), manakala puluhan pelajar ditangkap di Yale University.

Penunjuk perasaan yang ramai mewujudkan ‘Perkhemahan Solidariti Gaza’ di halaman Columbia University, manakala beberapa pelajar keturunan Yahudi di institusi berprestij New York itu mendakwa mendapat ugutan dan anti-Semitisme sewaktu bantahan selama beberapa hari.

Dalam surat terbuka kepada warga universiti, Presiden Columbia University, Nemat Shafik menyatakan perlu ada penyesuaian semula.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat terlalu banyak contoh tingkah laku yang menakutkan dan mengganggu di kampus kami.

“Ada luahan anti-Semitik, seperti kecaman lain yang digunakan untuk menyakiti dan menakutkan orang, tidak boleh diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Untuk mengurangkan rasa tidak berpuas hati dan memberi kita semua peluang untuk mempertimbang langkah seterusnya, saya mengumumkan semua kelas akan diadakan secara maya pada hari Isnin,” katanya.

Minggu lalu, penunjuk perasaan pro-Palestin memulakan bantahan dengan menggesa universiti itu menjual pelaburan dalam syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Pada Khamis, lebih 100 daripada mereka ditahan selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis ke kampus dan tindakan itu meningkatkan ketegangan, seterusnya mencetuskan kehadiran lebih ramai penunjuk perasaan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Mimi Elias, seorang pelajar yang ditangkap semalam berkata, mereka akan berada di situ sehingga tuntutan mereka diakui.

“Kami tidak mahu anti-Semitisme atau Islamofobia. Kami di sini untuk pembebasan untuk semua,” kata Elias.

Seorang pensyarah di Columbia University, Joseph Howley, pula berkata, universiti menjadi mengambil tindakan salah dengan memanggil polis, yang seterusnya menarik elemen yang lebih radikal yang bukan sebahagian daripada protes pelajar universiti.

“Anda tidak boleh mendisiplinkan dan menghukum untuk menghilangkan prasangka dan perselisihan faham masyarakat,” kata Howley.

Bantahan itu turut merebak ke kampus lain, termasuk The Massachusetts Institute of Technology (MIT), New York University, The University of Michigan dan Yale University, iaitu sekurang-kurangnya 47 orang sudah ditangkap, selepas pelajar tidak mengendahkan arahan untuk bersurai.

Sejak serangan Hamas 7 Oktober dan tindak balas tentera Israel yang luar biasa, universiti menjadi tempat perdebatan yang sengit di AS. – AFP

Sumber
Komen
Loading...