‘Gatal Tangan’ Beli Hartanah, Aliff Syukri Sedia ‘Rumah Seorang Satu’ Untuk Anak-anak
- oleh MDaily Editor
- 13 Apr 2026 1:52 pm
Usahawan kosmetik, Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman mendedahkan tabiat uniknya yang ‘gatal tangan’ untuk membeli hartanah sehingga berjaya mengumpul ratusan aset sebagai jaminan masa depan cahaya matanya.
Aliff berkata, pelaburan hartanah merupakan strategi utamanya sejak mula menceburkan diri dalam dunia perniagaan pada usia 19 tahun kerana bimbang terhadap risiko perniagaan kosmetik yang tidak menentu.
Menurut Aliff, beliau sentiasa beranggapan bahawa empayar perniagaannya boleh jatuh bila-bila masa, justeru pembelian aset tetap menjadi alternatif terbaik untuk kelangsungan hidup.
“Setiap kali naik kereta dan nampak projek perumahan baharu, tangan saya mula rasa ‘gatal’ hendak beli. Saya akan cepat-cepat pilih. Saya beli hartanah ini sebab saya beranggapan esok saya mungkin bankrup, jadi aset inilah penyelamat,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka di AS Palace pada Sabtu.
Beliau mendedahkan kini memiliki portfolio hartanah yang luas, termasuk lebih 50 unit rumah di Puncak Alam dan puluhan lagi di lokasi strategik seperti Sungai Buloh dan Damansara.
Walaupun sering berkongsi gaya hidup mewah, Aliff menjelaskan kebanyakan aset yang dibelinya bukanlah banglo mahal, sebaliknya terdiri daripada apartmen dan rumah teres mampu milik yang bertujuan untuk disewakan.

“Bayangkan anak sudah ramai. Ada yang mahu duduk di Jalan TAR, ada yang mahu di Pavilion. Jadi saya beli satu-satu. Seorang anak, ada 10 rumah (untuk masa depan). Itu sudah cukup sebagai kemudahan mereka nanti,” ujarnya berseloroh.
Bagaimanapun, tindakan menyediakan aset tersebut tidak bermakna beliau memanjakan anak-anaknya. Isterinya, Datin Sri Nur Shahida Mohd Rashid, menegaskan bahawa mereka tetap mengutamakan pendidikan dan mahu anak-anak mencari harta sendiri apabila dewasa kelak.
“Sebenarnya kami tak pernah tetapkan secara rasmi rumah mana untuk anak mana. Saya nak mereka pandai cari harta sendiri. Apa yang kami sediakan sekarang adalah kemudahan seperti kos kolej dan pengangkutan sahaja. Selebihnya, biarlah kami berdua yang menikmati hasil kerja keras ini dahulu,” jelas Shahida.
Sehingga kini, Aliff turut menguruskan syarikat pelaburannya sendiri, Aliff Syukri Properties, yang menguruskan ratusan unit sewaan sebagai sumber pendapatan kedua selain daripada industri kecantikan.
Terdahulu, majlis rumah terbuka yang diadakan di kediaman mewahnya itu dihadiri ratusan tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berpeluang beramah mesra dan menikmati hidangan istimewa usahawan tersebut.
