Garis Panduan MYIPO 2025 Penting Demi Masa Depan Industri Muzik – KARYAWAN
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menegaskan bahawa Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) 2025 yang diterbitkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merupakan langkah penting dan kritikal demi menjamin masa depan industri muzik tanah air.
Garis panduan tersebut, dikenali secara rasmi sebagai Garis Panduan MYIPO 2025, mula berkuat kuasa pada 17 Januari lalu dan bertujuan menambah baik ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus dalam operasi semua Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang mengendalikan kutipan dan agihan royalti di Malaysia.
Dalam satu sidang media, KARYAWAN menyifatkan garis panduan ini sebagai pembaharuan yang amat diperlukan setelah bertahun-tahun isu ketidaktelusan dan ketidakadilan disuarakan oleh penggiat muzik.
Menurut Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, sokongan terhadap Garis Panduan MYIPO 2025 ini berpaksikan kepada kajian menyeluruh oleh kerajaan demi memastikan keadilan untuk semua pihak dalam ekosistem muzik, termasuk pengguna karya muzik yang membayar lesen royalti.
“Kerajaan mahu memastikan bahawa ahli-ahli benar-benar menyokong pelaksanaan garis panduan ini kerana ia lahir daripada satu kajian yang menyeluruh. Inilah pendirian kerajaan bahawa garis panduan ini adalah langkah terbaik untuk melindungi hak semua pihak termasuk mereka yang membayar royalti,” katanya.
Antara penambahbaikan utama garis panduan ini ialah pemilihan lembaga pengarah secara demokratik, keperluan laporan terperinci kutipan dan agihan royalti serta penyediaan mekanisme aduan rasmi bagi ahli yang tidak berpuas hati dengan pengurusan CMO mereka.
“Bukan sahaja orang yang kutip, kita kena jaga semua pihak termasuk ahli-ahli yang sentiasa ada masalah dengan CMO mereka. Jadi itulah tentang pemilihan lembaga pengarah, undian untuk usul-usul, perjalanan badan itu. Semua isu-isu kena ada sesuatu yang adil kepada ahli dan itulah yang kerajaan ingin tetapkan,” ujar Datuk Freddie.
Dalam sidang media sama, KARYAWAN mendedahkan bahawa mereka telah mendapat maklumat bahawa beberapa CMO telah membawa isu ini ke mahkamah dalam usaha untuk menghalang pelaksanaan Garis Panduan MYIPO 2025. Kes tersebut dijadualkan akan dibacakan di mahkamah pada 1 Julai ini.
“Kami khuatir jika ada CMO yang mengambil tindakan terhadap kerajaan, ia akan memberi kesan kepada lesen mereka dan seterusnya menjejaskan operasi serta hak ahli. Akhirnya, ahli juga yang akan mengalami kerugian,” tambah Datuk Freddie.
Man Senoi turut menandatangani memorandum menyokong Garis Panduan MYIPO 2025
Sidang media itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh seni dan aktivis industri muzik yang mewakili pelbagai cabang dalam industri kreatif.
Sebagai tanda sokongan padu terhadap pelaksanaan garis panduan ini, ahli-ahli yang hadir pada sidang media tersebut turut menandatangani satu memorandum khas menyokong Garis Panduan MYIPO 2025, menzahirkan solidariti mereka dalam usaha memperjuangkan keadilan dalam sistem royalti.
KARYAWAN menekankan bahawa garis panduan ini juga akan membantu memperbetulkan ketidakseimbangan agihan royalti antara pelaku seperti penyanyi dan pemuzik dengan pemilik rakaman, satu isu yang berlarutan meskipun Malaysia telah meratifikasi WIPO Performers and Phonograms Treaty 1996.
“Baik untuk ahli tetapi mungkin tak baik untuk pihak lain. Namun ini adalah demi keadilan jangka panjang dan masa depan industri muzik yang lebih mampan,” tegas Datuk Freddie.
Lebih 8,000 pemegang hak dijangka menerima manfaat langsung daripada pelaksanaan garis panduan ini tanpa mengira tahap populariti yang meletakkan asas kepada sistem royalti yang lebih adil, telus dan mampan untuk jangka masa panjang.
Foto Oleh: Subky Hj Bebit.