Gandingan Yayasan Dan Koperasi Santuni 240 Pelajar AMal, Perkasa Agenda Pendidikan
- oleh MDaily Editor
- 16 Mar 2026 9:39 pm
Seramai 240 pelajar Program Asrama Malaysia (AMal) diraikan dalam satu Majlis Iftar penuh bermakna di Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang, hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda perpaduan nasional melalui saluran pendidikan dan kebajikan.
Program anjuran Yayasan Global Mesra (YGM) dengan kerjasama Yayasan Muhibbah Malaysia (YMM) serta Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) itu menyasarkan pelajar berasrama daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dari seluruh negara.
Pengerusi KO-KHAWAN merangkap Naib Pengerusi YMM, Dato’ Eng Yee Koon berkata, inisiatif tahun kedua ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, malah simbol keharmonian apabila pelajar pelbagai etnik dapat duduk semeja berkongsi juadah dan nilai kasih sayang.

“Bulan Ramadan adalah masa terbaik menyemai nilai ihsan dan kebersamaan. Apabila pelajar sekolah daripada pelbagai latar belakang berkumpul begini, ia membentuk generasi muda yang memahami nilai toleransi dan perpaduan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Menyentuh mengenai sokongan pendidikan, Yee Koon menjelaskan bahawa YMM kini memberi tumpuan khusus kepada pelajar golongan B40 melalui program tuisyen percuma secara dalam talian dan luar talian (face-to-face).

“Setakat ini, kapasiti maksimum kami mencecah 1,000 pelajar di seluruh negara termasuk 200 pelajar yang mengikuti tuisyen bersemuka di pusat kami di Jinjang. Kami komited untuk memastikan pelajar B40 tidak ketinggalan, malah ada antara mereka yang berjaya meraih keputusan cemerlang ‘Full A’ dalam peperiksaan,” tambahnya.
Bagi menyokong kelestarian program tersebut, peruntukan dana yayasan juga dijangka meningkat daripada RM1 juta pada tahun lalu kepada sasaran RM1.5 juta bagi tahun 2026 bagi merangkumi 8 hingga 10 aktiviti kebajikan sepanjang tahun.
Sementara itu, Pengasa Yayasan Global Mesra (YGM), Dato’ Haji Mohd Nasir Mohd Rashid berkata, kerjasama antara yayasan tersebut membuktikan bahawa kerja-kerja amal tidak mengenal batas bangsa dan agama.

“Fokus kami adalah pendidikan dan kebajikan anak-anak Malaysia agar mereka tidak terjebak dengan gejala sosial seperti dadah. Kami mahu mereka rasa dihargai dan sentiasa dekat dengan masyarakat. Inisiatif ini adalah sumbangan dalaman daripada rangkaian usahawan kami tanpa melibatkan kutipan derma awam,” jelas beliau.
Selain jamuan berbuka puasa, 240 pelajar berkenaan turut menerima sumbangan baju batik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Dato’ Sri Hasbullah Mohd Ali; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Hadir sama ialah Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Sharil Shariff.




