Ikuti Kami:

Gandingan Serasi Riz Zaizizi, Acha dalam ‘Bulan Dah Nampak’

Gandingan Serasi Riz Zaizizi, Acha dalam ‘Bulan Dah Nampak’

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan kehadiran buah tangan baharu berjudul “Bulan Dah Nampak”, sebuah kolaborasi dinamik yang menggabungkan kematangan vokal penyanyi berpengalaman dan bakat muda yang semakin meningkat naik.

Single terbitan L.Y. Music Factory itu menyatukan Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz Zaizizi, bersama penyanyi baharu, Acha, dalam sebuah naskhah yang menyuntik elemen kontemporari tanpa meminggirkan getaran klasik yang sering dirindui peminat lagu raya.

Penerbit ternama, Rozman Shafie atau lebih dikenali dengan L.Y, menegaskan bahawa pemilihan artis bagi lagu ini tidak bersandarkan kepada populariti di media sosial semata-mata, sebaliknya mengutamakan kualiti vokal dan potensi besar yang dimiliki oleh kedua-dua penyanyi tersebut.

“Pilihan kami bukan melihat kepada siapa yang mempunyai puluhan ribu pengikut. Kita berbalik kepada asas iaitu melihat kepada bakat dan kebolehan.”

“Kami memilih dengan berhati-hati supaya karya ini mampu memberi kesan kepada industri seni tanah air bagi tahun 2026,” ujarnya dalam majlis pelancaran dan berbuka puasa bersama media di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, di sini, hari ini.

Bagi Acha, peluang bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna namun tidak menafikan wujud rasa gementar pada awalnya.

“Secara jujurnya, pada mulanya saya berasa sangat gementar kerana ini adalah projek pertama saya dalam industri. Namun, Riz, pihak syarikat, dan semua orang sangat menyambut baik kehadiran saya,” katanya.

Tambah Acha, kerjasama ini merupakan satu proses pembelajaran yang besar buat dirinya sebagai pendatang baharu.

“Ini mungkin permulaan pertama saya, tetapi insya-Allah bukan yang terakhir. Banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada senior seperti Riz,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Riz Zaizizi menyifatkan projek ini sebagai naskhah ‘kepulangan’ beliau ke arus perdana selepas sekian lama memberi tumpuan penuh kepada dunia perniagaan dan bidang pendidikan muzik.

“Saya sebenarnya sudah lama bekerja dengan ‘Uncle’ L.Y., cuma sebelum ini saya banyak mengajar secara dalam talian. Alhamdulillah, tahun ini adalah masa yang terbaik untuk saya kembali. Bekerja dengan Acha juga sangat mudah kerana tenaga kami serasi walaupun baru pertama kali digandingkan,” katanya.

Sementara itu, komposer Syed Yahya menjelaskan bahawa lirik lagu ini mengangkat momen nostalgia yang dekat di hati masyarakat, seperti debaran melihat anak bulan dan tradisi bermaaf-maafan.

“Penceritaan dalam lagu ini bermula dengan apa yang kita lakukan sebelum raya, iaitu melihat anak bulan. Saya mengekalkan ‘rukun lagu raya’ seperti elemen kuih-muih dan suasana hari raya agar ia tetap mempunyai jiwa tradisional walaupun dalam susunan muzik yang moden,” jelasnya.

Muzik video rasmi “Bulan Dah Nampak” edaran Kelarai Sakti Sdn Bhd kini boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran YouTube Kelarai Sakti dan semua platform digital utama.

FOTO: Papadin.

Loading...