Ikuti Kami:

Gandingan ‘Otai’ Rock Gegar Saloma KL

Gandingan ‘Otai’ Rock Gegar Saloma KL

Pentas Saloma KL bertukar menjadi medan nostalgia apabila barisan ikon rock tanah air bersatu dalam showcase Rock Legends Live At Saloma, malam Sabtu lalu.

Showcase yang dihadiri ratusan peminat tegar genre ‘rock kapak’ dan blues itu turut menyaksikan persembahan bertenaga daripada barisan artis ternama termasuk Ito Blues Gang, Man Bai dan Gersang, Yantzen, Rahmat Mega, Mel, Black & Eddie dan kemuculan gitar ‘hero’ Kid Search, Shahrul Ekamatra dan Jobranko.

Sepanjang dua jam persembahan, penonton dihidangkan dengan rangkaian lagu hit seperti Masih Aku Terasa, Bujang Senang, Misteri Mimpi Syakila, Jerangkung Dalam Almari, Awang Trasher, Biarkan Berlalu, Apo Nak Dikato, Tiada Lagi Aku dan Meniti Suratan yang dinyanyikan secara bersama oleh peminat, mewujudkan suasana ‘sing-along’ yang amat meriah.

Kemunculan artis-artis ‘otai’ pada malam itu membangkitkan aura kegemilangan era 80-an dan 90-an yang menjadi identiti konsert berkenaan.

Kehadiran pemain dram legenda, Jojet, yang kembali beraksi di pentas utama ternyata menjadi daya penarik utama, sekali gus membuktikan sentuhan pemuzik veteran itu masih belum pudar meskipun sudah lama tidak muncul dalam persembahan berskala besar.

Selain meraikan muzik rock, acara berkenaan turut menggalas misi kebajikan apabila sebahagian dana yang dikumpul disumbangkan kepada persatuan berkaitan bagi menyantuni penggiat seni yang terjejas.

Kejayaan penganjuran Showcase Rock Legends Live At Saloma ini dilihat sebagai satu petanda positif bahawa muzik rock tempatan masih mempunyai nilai komersial yang tinggi dan relevan untuk dipentaskan di lokasi-lokasi ikonik ibu kota pada masa hadapan.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...