Gandingan Adira Suhaimi – Fiq7 Hidupkan Balada Puitis Dengan Sentuhan Rap
- oleh MDaily Editor
- 15 Nov 2025 6:52 pm
Penyanyi terkenal Adira Suhaimi kembali dengan lagu baharu berjudul Gelas Memori, kali ini bergandingan dengan rapper penuh misteri yang semakin popular, Fiq7.
Lagu terbitan Nova Music dan Rhunut Music ini menggabungkan muzik balada yang lembut dengan rap yang bertenaga, memberi warna baharu kepada industri muzik tempatan.
Gelas Memori membawa tema rindu, kehilangan dan kekuatan diri. Lirik yang ditulis sepenuhnya oleh Fiq7 menggunakan bahasa yang ringkas tetapi penuh emosi. Vokal lembut Adira melengkapkan rap puitis Fiq7, menjadikan lagu ini lebih menyentuh hati.
Menurut Adira, kerjasama ini memberi peluang untuk dirinya mencuba cara nyanyian yang berbeza.
“Saya suka cara lagu ini bercerita. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi tentang kenangan yang memberi kekuatan. Saya rasa ramai akan dapat memahami perasaan dalam lagu ini,”
“Walaupun kami datang daripada genre berbeza, tujuan kami sama iaitu mahu menyampaikan emosi sebenar,” katanya.
Bagi Fiq7, yang kini semakin mendapat perhatian dengan jutaan tontonan di YouTube, Gelas Memori adalah lagu paling peribadi pernah dihasilkannya.
“Saya menulis lagu ini ketika melalui waktu yang sukar. Setiap lirik menceritakan apa yang saya lalui. Bila membayangkan suara Adira dalam lagu ini, saya tahu ia akan memberi rasa yang lebih kuat,”
“Dalam Gelas Memori, saya cuba satukan rap jalanan dengan bahasa yang lebih lembut supaya ia ada jiwa,” katanya.
Lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit dan penyusun, Mas Dewangga, yang berjaya menggabungkan bunyi moden dan klasik. Gandingan pengalaman Adira dan gaya segar Fiq7 menunjukkan perkembangan muzik tempatan yang semakin kreatif.
Lirik Gelas Memori penuh dengan simbol kenangan, dengan ‘gelas’ digambarkan sebagai tempat menyimpan rasa cinta, kehilangan dan kekuatan. Lagu ini menyerlahkan kematangan dua artis dari dua generasi berbeza.
Gelas Memori dilancarkan hari ini dan boleh distrim di semua platform muzik.




