
Penyatuan dua vokalis hebat, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, dalam lagu raya terbaharu Syawal Rindu telah mencetuskan satu karya yang penuh emosi dan nostalgia.
Dengan keupayaan vokal yang luar biasa, kedua-dua penyanyi ini berjaya menghidupkan lirik dan melodi lagu ini, menjadikannya sebuah karya yang menyentuh perasaan.
Dicipta oleh Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan, dan Kelana, dengan lirik oleh Aiman Zaidi, Syawal Rindu membawa tema kerinduan terhadap keluarga serta kenangan lebaran yang sukar untuk diraikan bersama orang tersayang. Harmoni vokal Black dan Adira menjadi elemen utama yang menambah keunikan dan keistimewaan lagu ini.
Menurut Black, lagu ini mempunyai makna yang mendalam kerana ia menggambarkan perasaan ramai individu yang berjauhan dengan keluarga ketika Aidilfitri.
“Saya percaya ramai yang akan dapat menghayati mesej dalam lagu ini. Kesenian dalam lirik dan melodi mampu menyentuh hati setiap pendengar, mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kasih sayang dan kebersamaan,” katanya.
Adira turut meluahkan rasa syukur kerana dapat berduet dengan Black dalam lagu ini.
“Sinergi vokal kami mencipta satu suasana yang penuh emosi dan bermakna. Saya juga berpeluang belajar daripada Black yang sangat berpengalaman dalam industri muzik,” ujarnya.
Lagu Syawal Rindu terbitan Nova Music ini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube bermula 14 Mac.