Ikuti Kami:

Gabungan Umbrella, Zamani & Floor 88 di Konsert Seribu Rahmat Umbrella

Gabungan Umbrella, Zamani & Floor 88 di Konsert Seribu Rahmat Umbrella

Industri muzik tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah melalui penganjuran Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadualkan berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 6 Jun 2026.

Konsert yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP) ini bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, malah merupakan sebuah wadah muzik yang menyatukan tiga generasi peminat di atas satu pentas yang sama.

Acara ini bakal menampilkan kumpulan legenda Umbrella sebagai teraju utama, dengan penampilan khas penyanyi ikonik Zamani serta kumpulan popular masa kini, Floor 88.

Vokalis Umbrella, Zarul Husin, menyifatkan kolaborasi ini sebagai sesuatu yang istimewa, apatah lagi pemain bass kumpulan tersebut merupakan kakitangan universiti berkenaan.

“Kami bakal mempersembahkan kira-kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas. Ia benar-benar sebuah perjalanan nostalgia; ketika sesi latihan pun, saya sendiri merasai emosi mendalam kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu tersebut,” katanya semasa sidang media yang di IDEAS Kuala Lumpur, disini, hari ini.

Menurut wakil PBPRP, pemilihan lokasi di Kedah merupakan langkah strategik bagi membuktikan bahawa konsert bertaraf tinggi tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur.

Dewan Mu’adzam Shah dipilih kerana fasiliti profesionalnya yang setaraf dewan konsert terkemuka, sekali gus menjadi pintu masuk strategik bagi peminat dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara, dan selatan Thailand.

Pentas bakal bergema selama lebih dua jam 30 minit dengan rangkaian 20 buah lagu hit antaranya termasuklah Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu oleh Umbrella, manakala Zamani bakal memukau dengan Gerimis Mengundang manakala Floor 88 akan membawakan lagu-lagu bertenaga seperti Hutang dan Chikadun.

Keunikan utama konsert ini turut terletak pada penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang akan memaparkan video flashback perjalanan Umbrella serta klip arkib yang jarang dilihat sebelum ini.

Selain itu, buat julung kalinya, Umbrella dan Zamani akan berkongsi pentas dalam satu susunan muzik medley yang istimewa.

Penerbitan kreatif konsert ini diterajui oleh komposer terkenal, Dr Azmeer, yang bertanggungjawab memastikan standard tertinggi bagi susunan muzik dan kualiti audio.

Tiket-tiket kini sudah mula dijual mengikut kategori Zon Ramalanku Benar Belaka (RM150), Zon Bukalah Hatimu (RM100) dan Zon Akulah Teduhan Mu (RM50) manakala susunan tempat duduk adalah bebas berasaskan konsep ‘first come, first seat’.