Ikuti Kami:

Gabungan Silat dan Fiksyen Moden Dalam Filem Aksi Baharu

Gabungan Silat dan Fiksyen Moden Dalam Filem Aksi Baharu

Filem seni mempertahankan diri terus mendapat tempat di hati peminat genre aksi. Kali ini, syarikat produksi Katana Film mempersembahkan sebuah karya baharu bertajuk “Warisan: Silat Cult Legacy”.

Menurut penerbit dan pengarahnya, Mallory Lee, filem ini memaparkan kelainan dengan menggabungkan seni silat tradisional dengan elemen fiksyen moden yang diinspirasi daripada permainan video arked pertempuran era 90-an.

“Filem ini memberi fokus kepada babak aksi pertarungan yang mendebarkan, sambil mengekalkan jalan cerita yang ringkas tetapi menarik. Saya yakin gabungan ini mampu mencipta pengalaman yang berbeza untuk peminat filem aksi,” kata Mallory.

“Warisan: Silat Cult Legacy” membawa penonton ke dunia gelap pertarungan bawah tanah. Kisah ini mengikuti perjalanan Izra (lakonan Aiman Ameer, juara Hero Remaja 2023), seorang pendekar muda yang berusaha membalas dendam terhadap pembunuh ibunya sambil bekerjasama dengan sekumpulan individu berbakat dalam silat untuk menumpaskan kumpulan kejam yang diketuai oleh Abil (lakonan Jay Iswazir).

Selain itu, filem ini turut menampilkan Azri Safix, finalis Hero Remaja, sebagai Kris; Fify Azmi sebagai Suzan; dan Muhammad Lokman Seelan Manoheran sebagai guru silat, Tok Rahmat. Pelakon lain yang membintangi filem ini termasuk Trisha Ooi, Ayez Shaukat, Manvin Khera, Colleen Augustine, dan Fitri Farouk.

“Kami memilih silat untuk menjadi elemen utama kerana ia bukan sahaja seni mempertahankan diri tetapi juga warisan budaya yang unik. Ia kaya dengan nilai heroik dan sejarah,” jelas Mallory.

Mallory turut berharap filem ini akan membuka peluang kepada silat untuk diterima di peringkat antarabangsa, seperti mana Kung Fu menjadi kebanggaan filem Hong Kong.

“Silat memiliki potensi besar, dan saya ingin menjadikan filem ini sebagai langkah awal untuk mempromosikan seni ini kepada penonton global,” tambahnya.

“Warisan: Silat Cult Legacy” mengisahkan Izra (Aiman Ameer) yang kehilangan ibunya, Salmah (Trisha Ooi), akibat perbuatan kejam ketua kumpulan samseng, Abil (Jay Iswazir). Dalam pelariannya semasa kecil, Izra membawa loket misteri pemberian ibunya.

Dia diselamatkan oleh Tok Rahmat (Muhammad Lokman Seelan Manoheran), seorang pendekar silat yang kemudiannya melatih Izra menjadi pejuang. Setelah dewasa, Izra memulakan misi membalas dendam dan bertemu sekumpulan rakan seperjuangan termasuk Suzan (Fify Azmi), Kris (Azri Safix), dan Malik (Manvin Khera). Bersama-sama, mereka menghadapi cabaran besar untuk menumpaskan Abil dan kumpulannya.

Dengan babak pertarungan yang intens dan penceritaan yang menyentuh emosi, “Warisan: Silat Cult Legacy” menjanjikan pengalaman filem aksi yang epik dan tidak boleh dilepaskan. Saksikan di pawagam pada 13 Februari 2025!

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 Februari 2025.

Komen
Loading...