Gabungan Menu Tradisional Dan Barat, 80 Hidangan Menanti Di ‘Warisan Citarasa Asli 2 Benua’
- oleh MDaily Editor
- 23 Feb 2026 8:42 pm
RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS) buat julung kalinya mempertaruhkan keunikan bufet Ramadan bertemakan ‘Warisan Citarasa Asli 2 Benua’ yang menggabungkan elemen masakan tradisional Melayu dan kulinari Barat bagi memenuhi selera warga kota tahun ini.
Berlangsung di Dewan Menara Kumpulan RISDA bermula 23 Februari sehingga 18 Mac depan, bufet ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama pengusaha restoran terkenal, Rumah Makan Patin Pasu.
Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Encik Putera Sidek berkata, meskipun RSS mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara, penganjuran bufet Ramadan kali ini merupakan satu anjakan paradigma bagi syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri katering dan hospitaliti.

”Kami memilih untuk bekerjasama dengan Rumah Makan Patin Pasu kerana kepakaran mereka dalam masakan Melayu asli. Gabungan ini mewujudkan sinergi di mana kami menyediakan lokasi eksklusif dan pengurusan acara yang mantap, manakala mereka memastikan kualiti hidangan berada pada tahap tertinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran bufet tersebut, di sini.
Sementara itu, pengasas Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar menjelaskan, sebanyak 80 jenis lauk-pauk disediakan setiap hari yang dibahagikan kepada tiga rotasi menu (Set A, B, dan C) bagi mengelakkan pengunjung berasa jemu.

”Antara tarikan ‘killer menu’ kami termasuklah daging salai, itik salai, dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi. Bagi peminat makanan Barat, kami menyediakan kambing bakar, lamb stew, lasagna, serta pelbagai pilihan pasta dan masakan Itali.
”Walaupun kami terkenal dengan masakan kampung, kami juga mempunyai cef bertauliah untuk mengendalikan menu Barat bagi memastikan ‘Citarasa 2 Benua’ ini benar-benar dirasai oleh setiap pengunjung,” jelas beliau.
Terletak di lokasi strategik di tengah ibu kota, dewan yang mampu memuatkan sehingga 500 orang pada satu-satu masa ini turut dilengkapi kemudahan surau yang selesa serta parkir percuma bagi memudahkan urusan tetamu.
Suasana berbuka puasa turut diserikan dengan persembahan daripada Live Band RISDA.

Harga Tawaran:
Dewasa: RM 139
Staf / Pesara RISDA: RM 110
Kanak-kanak (7-11 tahun) / Warga Emas (60 tahun ke atas): RM 88
Bagi tempahan berkumpulan (bukan kakitangan RISDA), diskaun istimewa sebanyak 10 peratus ditawarkan untuk 30 hingga 40 orang, manakala 15 peratus bagi tempahan melebihi 41 orang.
Orang ramai yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa ini boleh membuat tempahan melalui imbasan kod QR pada poster rasmi atau menghubungi talian 011-1769 2601 atau 013-246 9229.




