Ikuti Kami:

Gabungan Mantap Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Mak Mah Hidupkan INDERA

Gabungan Mantap Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Mak Mah Hidupkan INDERA

Filem seram psikologi INDERA mempertaruhkan gabungan pelakon berpengalaman dan generasi baharu yang berjaya menghidupkan naskhah sarat trauma dan misteri.

Menampilkan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan pelakon veteran Ruminah Sidek atau Mak Mah, filem ini membuktikan kekuatan emosi dan lakonan sebagai tunjang utama.

INDERA mengisahkan Joe, seorang bapa tunggal yang cuba memulakan hidup baharu bersama anak perempuannya yang bisu dan pekak selepas kehilangan isteri. Namun, kediaman mereka di rumah terpencil milik seorang wanita misteri mula dihantui kejadian aneh yang membawa kepada rahsia gelap masa lalu.

Shaheizy Sam yang membawa watak utama dalam filem ini, mengakui naskhah arahan Woo Ming Jin hadir pada waktu yang tepat selepas beliau berehat panjang daripada dunia lakonan akibat pandemik COVID-19.

“Waktu tu saya tengah bercuti panjang, industri pun agak perlahan. Jadi bila dapat tawaran berlakon dalam INDERA, rasa macam semangat tu datang balik. Rindu nak bekerja,” katanya di sidang media dan tayangan perdana di GSC Mid Valley Megamall, semalam.

Tambah Sam, faktor utama beliau menerima tawaran berlakon adalah kerana pengarahnya, Woo Ming Jin, yang disifatkannya sebagai seorang pengarah yang jelas visi dan arahnya.

“Ini filem ketiga saya dengan Woo Ming Jin. Bila dia kata siapa pelakon lain yang terlibat, saya terus rasa yakin sebab semua nama besar dan berbakat. Saya tahu projek ni bukan calang-calang,” katanya lagi.

Sementara itu, Azira Shafinaz yang membawakan watak Anissa menyifatkan INDERA sebagai platform terbaik untuknya mencabar kemampuan diri sebagai pelakon.

“Saya memang peminat filem seram, tapi bila ditawarkan watak Anissa, saya terus baca skrip dan rasa karakter ni unik. Saya tak rujuk mana-mana filem lain, saya bawa ikut interpretasi sendiri.

“Saya juga memang teringin bekerja dengan pengarah seperti Woo Ming Jin, jadi saya anggap ini rezeki,” katanya.

Azira turut menyatakan rasa senang bekerjasama dengan Shaheizy Sam buat kali pertama dan memuji keserasian yang wujud antara mereka di set penggambaran.

“Alhamdulillah, ‘chemistry’ dengan Sam memang mudah terbentuk. Cuma saya tak ada babak dengan Mak Mah, tapi saya harap satu hari nanti dapat peluang bekerja dengan beliau,” ujarnya.

Pelakon veteran, Ruminah Sidek atau Mak Mah, yang menjayakan watak wanita misteri berketurunan Jawa, berkata peranannya dalam filem ini sangat dekat dengan dirinya.

“Bagi saya, watak ini tidak sukar kerana saya memang orang Jawa dan pandai bercakap dalam dialek Jawa. Jadi bila diberi watak sebegini, saya memang rasa selesa,” jelas Mak Mah.

Diterbitkan Greenlight Pictures dan Lomo Pictures dengan edaran GSC Movies, filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 7 Ogos 2025.

Sempena tayangan, GSC Cinemas dan TGV Cinemas menawarkan peraduan istimewa dengan hadiah utama berupa Superlux Ebike EB1, sebuah basikal elektrik eksklusif untuk penonton bertuah.

Untuk maklumat lanjut mengenai tayangan dan peraduan, orang ramai boleh melayari laman rasmi GSC atau TGV serta aplikasi mudah alih mereka.

Komen
Loading...