Ikuti Kami:

FWD Takaful Anjur Hari Komuniti Inklusif, Fokus Perlindungan Kewangan OKU

FWD Takaful Anjur Hari Komuniti Inklusif, Fokus Perlindungan Kewangan OKU

FWD Takaful menegaskan komitmennya terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi penganjuran Hari Komuniti Inklusif FWD Takaful di Setia City Mall, Selangor, hari ini.

Acara yang julung kali diadakan itu memberi tumpuan kepada isu akses perlindungan kewangan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan OKU, selain membuka ruang dialog mengenai cabaran hidup seharian mereka.

Menurut Ketua Penentuan Harga dan Pembangunan Produk FWD Takaful, Faiz Hafizi Bin Manap, pihaknya memperkenalkan pelan perlindungan khusus untuk komuniti OKU yang dinamakan Special MED 2.0.

“Produk ini direka sebagai kad perubatan hospitalisasi untuk mereka yang biasanya tidak layak memohon pelan konvensional. Sejak dilancarkan pada 2024, lebih 220 individu OKU telah menyertainya. Permohonan juga mudah kerana boleh dibuat secara atas talian dan keputusan diperoleh hanya dalam beberapa minit,” katanya.

Special MED 2.0 merangkumi perlindungan bagi pelbagai jenis ketidakupayaan termasuk autism, ketidakupayaan pembelajaran, masalah penglihatan dan ketidakupayaan pendengaran.

Acara berkenaan turut menampilkan sesi panel bertajuk “Menutup Jurang Perlindungan untuk OKU”, membabitkan pakar industri dan wakil komuniti antaranya Pathmavathy Raman dari NASOM Autism Youth Activity Centre serta Julian Wong, Pengerusi NASOM.

Selebriti tanah air, Amyra Rosli yang hadir sebagai tetamu jemputan berkata, usaha FWD Takaful wajar dipuji kerana memberi peluang sama rata kepada semua golongan.

“Acara ini amat bermakna kerana ia memastikan semua orang, tanpa mengira latar belakang atau keadaan, mendapat akses kepada perlindungan kewangan yang adil,” katanya.

Dengan lebih 700,000 OKU berdaftar di Malaysia, program seumpama ini dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sokongan inklusif serta membuka lebih banyak peluang perlindungan kewangan kepada golongan berkenaan.

Komen
Loading...