“Futureland” Festival Serlah Bakat Tempatan dan Rapatkan Komuniti
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
“Futureland” Festival, anjuran Warner Music Malaysia dengan kerjasama Watsons Malaysia, mencipta sejarah baharu sebagai acara hiburan langsung yang menyatukan peminat muzik dan menyerlahkan kreativiti tempatan.
Bertempat di Stadium Merdeka yang baru dinaik taraf, festival ini membawa nostalgia era kegemilangan sambil memberi nafas baharu kepada lokasi bersejarah tersebut.
Di stadium yang menyaksikan pengisytiharan kemerdekaan negara dan menjadi pentas kepada bintang global, “Futureland” menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dengan persembahan hebat daripada artis terkenal seperti Hujan, Masdo, Aina Abdul, Bunkface, Ayda Jebat, dan ramai lagi.
Festival ini turut memberikan peluang kepada bakat baharu seperti Amsyar Leee, empty page., dan FUGŌ, mencipta pengalaman muzik yang dinamik dan penuh makna.
Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam, menyifatkan festival ini sebagai langkah penting untuk industri muzik tempatan.
“Sambutan luar biasa ini membuktikan kekuatan muzik dalam menyatukan orang ramai. Kami amat berterima kasih kepada Watsons Malaysia yang sedang meraikan ulang tahun ke-30, serta rakan kongsi lain seperti Perfume Paradise dan Yes 5G. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” katanya.
Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh, turut menekankan bahawa festival ini adalah penghargaan kepada pelanggan Watsons.
“Kami ingin memberi inspirasi dan menggembirakan rakyat Malaysia. Dengan gabungan muzik, budaya, serta pengalaman kecantikan dan kesihatan, festival ini melangkaui jangkaan,” ujar beliau.
Selain persembahan artis, aktiviti lain seperti Watsons Glow Up Zone, gerai makanan, pop-up stores, dan aktiviti interaktif turut menarik hampir 20,000 pengunjung sepanjang hari.
Puncak acara adalah persembahan kumpulan Hujan, diiringi penampilan memukau Aina Abdul yang membuat debutnya di festival ini dengan persembahan vokal yang memikat hati penonton.
Menurut Dinesh, kejayaan “Futureland” membuka jalan untuk acara serupa di masa hadapan.
“Kami sedang mempertimbangkan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan, dengan misi mengangkat bakat tempatan ke peringkat global,” katanya.
Dengan pencapaian ini, “Futureland” Festival kini menjadi simbol penghargaan kepada muzik, budaya, dan komuniti Malaysia, sekaligus menetapkan standard baharu untuk hiburan langsung di negara ini.