Ikuti Kami:

FTG Bangkit Dengan Nafas Baharu, Siap Gegar Konsert Metal Fighter

FTG Bangkit Dengan Nafas Baharu, Siap Gegar Konsert Metal Fighter

Kumpulan thrash metal ikonik Malaysia, FTG, kembali dengan semangat baharu dan formasi yang lebih padat, bersedia menggempur pentas Konsert Metal Fighter pada 16 Ogos ini di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Telok Panglima Garang.

Selepas melalui fasa pencarian drummer dan penyusunan semula anggota, FTG kini tampil dengan barisan terkini yang menampilkan Tajul selaku vokalis, Mie (bass), Jamboo (gitar utama), Rezoy (gitar kedua) dan Megat (drummer), membawa dimensi baharu dalam persembahan mereka.

“Sebenarnya kami tak pernah hilang. Cuma ambil masa untuk kukuhkan kembali pasukan selepas kehilangan drummer. Apabila dihubungi untuk buat show ini. Dari situlah semangat nak bangkit semula timbul. Kami pilih untuk mulakan dari skala kecil tapi impaknya besar,” ujar Tajul, yang menyertai FTG sejak era album Aku Tak Peduli.

Kembalinya FTG dengan lima anggota merangkumi dua gitaris dianggap lebih mantap berbanding persembahan terdahulu yang hanya melibatkan empat anggota.

“Dah bertahun main berempat. Sekarang bila ada dua gitar, bunyinya lebih tebal dan padat. Tambah pula untuk pentas indoor macam ni, kami nak beri yang terbaik,” tambahnya.

FTG akan berganding pentas bersama kumpulan lagenda rock tempatan Sofea Legacy dalam Konsert Metal Fighter – Sofea Legacy x FTG anjuran Mentari Merah Entertainment yang bakal berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 9 malam.

“Apa pun yang berlaku, untuk 16 Ogos ni, itu tanggungjawab kami. Kami janji beri persembahan penuh kepuasan untuk penonton. FTG bukan sekadar main satu dua lagu, kami bawa tenaga, bawa jiwa,” tegas Tajul.

Penganjur, Encik Mohamed Noor atau lebih dikenali sebagai MM, menyeru para peminat untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert istimewa ini.

“Saya harap peminat kedua-dua band lagenda ini akan turun memberikan sokongan dan dapatkan tiket segera kerana tempat adalah terhad kepada 300 orang sahaja. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tapi kita mahu merapatkan silaturahim sesama penggiat seni,” ujarnya.

Kembalinya FTG ini bukan sekadar penampilan semula, tetapi permulaan fasa baharu yang lebih matang dan bertenaga dalam sejarah perjalanan muzik metal tanah air.

Tiket mula dijual pada harga RM90 (pembelian awal) dan RM100 (walk-in). Tiket boleh didapatkan menerusi:
– Mentari Merah II – 019 2407994
– Zam Pacak – 019 2123239
– Mohd R’man Mohamad Isa – 011 28326494

Komen
Loading...