FSR UiTM Shah Alam Lancar Program Flag Football dan Frisbee di Terengganu
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melancarkan dua program sukan inovatif yang memperkenalkan Flag Football dan Frisbee kepada pelajar sekolah menengah di Kuala Terengganu, dalam usaha memperkasa pembangunan sukan alternatif di peringkat akar umbi.
Program bertajuk “Terengganu Takeoff: United Under One Flag” dan “Frisbee Throwlogy D’Ganu” itu akan berlangsung dari 12 hingga 19 Jun, melibatkan 146 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman.
Dalam satu sidang media yang diadakan di UiTM Shah Alam hari ini, Yang Berusaha Puan Nurul Ain Muhammad Rafiai, yang mewakili Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, berkata program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam merakyatkan sukan bukan arus perdana kepada generasi muda.
“Ini adalah inisiatif penting dalam memperkenalkan sukan alternatif kepada pelajar sekolah menengah di luar Lembah Klang. Flag Football dan Frisbee bukan sahaja menyeronokkan, tetapi membentuk kemahiran sosial, disiplin, dan kepimpinan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Dari kiri: En Eqmal Emir b Azuddin (Pengarah Program United Under One Flag), En Idzuwan b Zulkifli (Wakil Kelab Flag Football), Yang Berusaha Puan Nurul Ain Muhammad bt Rafiai (Mewakili Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi), En Muhammad Fawwaz b Mohd Phuat (Wakil Kelab Frisbee), dan En Muhammad Aizuddin b Manah (Pengarah Program Frisbee Throwlogy D’Ganu) semasa sidang media pelancaran program inovatif FSR UiTM Shah Alam di Shah Alam, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa program ini bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi platform pendidikan nilai dan latihan praktikal untuk mahasiswa UiTM.
“Seramai 91 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan semester enam akan terlibat secara langsung sebagai pengendali dan pelaksana program. Ini memberi peluang kepada mereka untuk menerapkan teori pengurusan sukan yang dipelajari ke dalam konteks sebenar,” jelasnya.
Antara pengisian utama program termasuk bengkel kemahiran asas Flag Football dan Frisbee, pertandingan mini dan demonstrasi permainan, aktiviti akuatik di Pulau Redang, serta lawatan industri ke Pasar Payang sebagai pendedahan kepada budaya tempatan.
“Program ini turut menggabungkan elemen pembelajaran luar yang membolehkan peserta memahami prinsip pengurusan sukan dan rekreasi secara mendalam melalui pengalaman langsung,” menurut kenyataan rasmi yang diedarkan kepada media.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada kelab dan komuniti profesional seperti Rentap (Flag Football Club) dan All Ultimate Roar (Frisbee Community) yang akan membantu memastikan pelaksanaan program berjalan secara profesional dan berimpak tinggi.
Puan Nurul Ain menambah, inisiatif ini juga dilihat sebagai jambatan yang merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.
“Program ini dijangka mewujudkan keharmonian dan ikatan ukhwah antara UiTM dan pelajar sekolah, selain memperkenalkan alternatif sukan baharu yang boleh diteruskan dan dikembangkan di peringkat sekolah,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar program ini menjadi permulaan kepada pengembangan sukan-sukan alternatif di seluruh negara, sambil menanamkan nilai-nilai murni seperti toleransi, semangat berpasukan, dan tolong-menolong dalam kalangan peserta.