Selepas mencuri perhatian peminat menerusi persembahan bertenaga di Konsert Rentas Masa yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini, kumpulan underground tempatan, FLY V, kini kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul “DALAM SATU”.
Karya ini bukan sekadar naskhah muzik biasa, sebaliknya ia mengangkat tema perjuangan seorang insan yang tabah dalam menempuh cabaran hidup.
Disampaikan dengan vokal yang mantap serta susunan muzik yang lebih matang, single ini membuktikan FLY V mempunyai kualiti produksi yang mampu bersaing di arus perdana.
Menurut pengasas dan vokalis FLY V, Ovie, kumpulan itu kini berada dalam fasa paling produktif sejak ditubuhkan pada tahun 1997.
“Kami amat teruja dengan maklum balas peminat selepas Konsert Rentas Masa. ‘DALAM SATU’ adalah hadiah buat mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kami. Lagu ini membawa emosi yang mendalam tentang erti perjuangan yang tidak pernah luntur,” katanya.

Sebelum ini, FLY V pernah menjadi bualan selepas single mereka bertajuk “BEBAS” berjaya menembusi pasaran Indonesia dan mendapat sambutan hangat di kedua-dua buah negara.
Kejayaan itu menjadi pemangkin semangat buat Ovie serta dua rakan seperjuangannya, Miji (gitar) dan Kama (gitar) untuk terus memperjuangkan genre modern rock.
Selain pelancaran single, FLY V juga mendedahkan bahawa mereka sedang dalam proses menyiapkan sebuah album penuh yang dijadualkan menemui peminat pada tahun hadapan.
Malah, sebagai kejutan buat peminat setia, kumpulan ini juga sedang mempersiapkan klip video khas bagi lagu Raya 2026.
Muzik video rasmi bagi single “DALAM SATU” kini sudah boleh ditonton di saluran YouTube rasmi FLY V.




