Fitri Haris UNIC Raih Anugerah Akademik Negara Atas Sumbangan Dalam Seni Persembahan
- oleh MDaily Editor
- 30 Oct 2025 8:09 pm
Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga penyanyi kumpulan nasyid terkenal UNIC, Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris, mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-16 bagi Kategori Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan).
Majlis penganugerahan berprestij itu berlangsung di Dorsett Grand Subang pada 24 Oktober lalu, dengan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengiktirafan tersebut merupakan antara anugerah tertinggi negara dalam bidang akademik, yang diberikan kepada tokoh-tokoh ilmuwan atas kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan serta sumbangan kepada masyarakat.

Anugerah Akademik Negara merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menilai pencapaian ahli akademik melalui proses teliti dan berlapis, melibatkan panel pakar dari pelbagai universiti dan agensi kebangsaan.
Dr. Fitri, yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Inovasi di School of Creative Industry Management & Performing Arts (SCIMPA), UUM, dikenali sebagai sarjana yang berjaya mempertemukan dunia seni dan akademik dalam kerangka nilai, etika dan pendidikan.
Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang etnomusikologi dan muzik popular Islam, selain aktif menjalankan penyelidikan dan penerbitan ilmiah yang berkaitan dengan muzik dakwah moden.

Dr. Fitri turut mengarah beberapa pementasan seni berkonsepkan edutainment di pentas tempatan dan antarabangsa termasuk di Istana Budaya, Zepp Kuala Lumpur, United Kingdom, Mesir, China, Indonesia, Singapura serta secara maya di Amerika Syarikat.
Sebagai salah seorang figura penting dalam dunia muzik nasyid, Dr. Fitri turut memperjuangkan konsep ‘Halal Entertainment’ sebagai identiti budaya Malaysia yang bersifat inklusif dan progresif.
Beliau berpendapat seni yang berteraskan nilai spiritual dan kemanusiaan mampu menjadi jambatan persefahaman antara budaya serta agama di peringkat global.
Usaha dan dedikasi beliau turut mendapat perhatian antarabangsa apabila diiktiraf sebagai Future Leader oleh The British Academy, United Kingdom, hasil penglibatan aktifnya dalam jaringan penyelidikan global yang menumpukan kepada diplomasi budaya melalui muzik Islam dan hiburan halal.
Majlis penganugerahan itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail, Pengarah UTLC UUM, Prof. Madya Dr. Siti Noor, serta Presiden Munsyid Malaysia, Muhammad Hazamin Harun (Hazamin Inteam) yang hadir memberikan sokongan dan penghormatan kepada penerima anugerah tersebut.




