Fipper Pilih Bella Astillah Kolaborasi Single ‘Ya Raya’
- oleh MDaily Editor
- 12 Feb 2026 3:38 pm
Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, kembali menyemarakkan suasana sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Ya Raya.
Lebih menarik, karya ini bukan sekadar buah tangan muzik biasa, sebaliknya merupakan satu kolaborasi strategik bersama jenama selipar terkenal, Fipper, bagi melambangkan gaya hidup santai namun penuh bermakna di musim perayaan.
Lagu ciptaan Rudeen dan Exactesy ini menggabungkan elemen muzik moden dan tradisional, sekali gus mengekalkan jiwa lagu Raya yang dekat di hati pendengar namun tetap segar untuk generasi masa kini.
Menurut Bella, hubungan emosinya dengan lagu ini bermula sejak pertama kali mendengar demo tersebut yang dirasakan sangat positif dalam menggambarkan suasana lebaran.

”Lagu ini terasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan meraikan masa bersama keluarga serta rakan-rakan. Ada elemen ceria yang membuatkan orang rasa nak senyum bila mendengarnya,” katanya.
Menceritakan cabaran di sebalik tabir, Bella mendedahkan bahawa beliau sebenarnya berada dalam keadaan kurang sihat semasa proses rakaman berlangsung.
”Cabaran utama adalah untuk mengekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat-buat sebab ketika itu Bella sedang demam. Namun, Bella sangat seronok terutama pada bahagian korus yang sangat catchy,” tambahnya lagi.
Sementara itu, wakil Fipper menjelaskan pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi adalah selari dengan nilai jenama yang mementingkan aspek positif, autentik, dan dekat dengan masyarakat Malaysia.

Bagi Fipper, kolaborasi ini merupakan satu evolusi jenama daripada sekadar pengeluar selipar kepada jenama gaya hidup yang sentiasa menemani perjalanan harian pengguna, termasuklah kepulangan mereka ke kampung halaman.
Pihak Universal Music Malaysia turut menyifatkan kerjasama ini sebagai satu pendekatan organik untuk menghasilkan lagu Raya yang tulen tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol, sekali gus memperkukuh hubungan antara jenama dan industri muzik tempatan.
Ya Raya bakal menemui pendengar di semua platform penstriman digital bermula 13 Februari ini.




