Ikuti Kami:

Finalis CSOIAM Diumum Sertai Konsert Rossa “Here I Am” di Axiata Arena

Finalis CSOIAM Diumum Sertai Konsert Rossa “Here I Am” di Axiata Arena

Empat finalis rancangan realiti TV3, Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) — Marygrace Jane Penserga, Jimi Kamal, Kai Deva, dan Zazzleen Zulkifli Zain — diumumkan bakal menyertai konsert mega Here I Am oleh Dato’ Sri Rossa, yang akan berlangsung pada 14 Jun 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pengumuman rasmi ini disampaikan dalam sebuah sidang media yang berlangsung meriah di Saloma, Kuala Lumpur, sempena Majlis Ukhuwah Raya PRIHATIN dan ROSSA.

Penyertaan empat finalis CSOIAM menambah warna dalam senarai artis yang bakal memeriahkan pentas konsert ini.

Terdahulu, nama-nama besar seperti Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique dan Dipha Barus telah diumumkan sebagai artis jemputan Here I Am dalam satu Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur pada Ramadan lalu.

Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama promosi oleh Sah Entertainment dan Media Prima sebagai rakan media rasmi.

Ia turut mendapat sokongan kukuh daripada Amber dan Usanita sebagai penaja utama, memperkukuh gabungan hiburan, keusahawanan dan tanggungjawab sosial.

“Saya gembira bukan hanya kerana dapat kembali ke Malaysia dengan konsert ini, tetapi kerana dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis hebat dan bakat muda yang luar biasa. Ia satu penghormatan dan pengalaman yang saya sendiri teruja untuk rasai,” ujar Rossa.

Sebagai sebahagian daripada misi kebajikan, konsert ini turut menyumbangkan sebahagian hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih Prihatin, yang menyokong pelbagai inisiatif pendidikan dan komuniti di seluruh negara.

Tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian melalui www.ticket2u.com, dengan harga bermula dari RM228 hingga RM788. Pemegang kad Maybank akan menikmati diskaun eksklusif pada hari pra-jualan yang bermula 14 Februari 2025.

Komen
Loading...