Finalis Big Stage Alpha Gegar Pavilion KL, Tarik Lebih 6,000 Peminat
- oleh Mohd Indera
- 3 hari lalu

Showcase istimewa Big Stage Alpha yang diadakan pada Rabu, 11 Jun, mencipta sejarah apabila tujuh finalis program realiti popular itu menjadi kumpulan lelaki tempatan pertama membuat persembahan di pentas utama Pavilion Kuala Lumpur.
Acara yang dianjurkan oleh Astro ini berjaya menarik lebih 6,000 peminat dan memberi peluang kepada mereka untuk menyaksikan sendiri bakat para finalis secara langsung, tanpa kehadiran juri atau sesi latihan terlebih dahulu.
Persembahan ini menunjukkan persediaan mereka sebelum bersaing dalam pentas akhir Big Stage Alpha yang akan berlangsung pada 15 Jun.
Finalis yang terlibat ialah Ariel Fesol, Araff, Daniel Sher, Ray D, Rizal Rasid, Izat Ibrahim dan Afiq Sky. Mereka mempersembahkan lagu secara solo dan berkumpulan dengan penuh semangat dan tenaga, menghiburkan ribuan penonton yang hadir.
Acara malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis terkenal seperti Akim Ahmad, Amir Masdi, Shila Amzah, Wani Kayrie dan juri tetap program, Hael Husaini.
Turut hadir ialah empat peserta dari Malaysia dalam program CHUANG Asia 2025 iaitu Jackson, Tzi Xuan, Hong Jin dan Sunny, serta alumni Big Stage seperti Nadeera Zaini, Isaac Voo dan kumpulan wanita COEX.
Peminat juga diberi peluang bertemu finalis dalam sesi ramah mesra khas dan membawa pulang cenderahati istimewa daripada Astro. Ia menjadi malam penuh kenangan buat peminat yang menyokong dari awal program.
Jangan lepaskan peluang menonton malam kemuncak Big Stage Alpha secara langsung pada Ahad, 15 Jun 2025, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro GO dan sooka.