Ikuti Kami:

Filem Thriller Limbungan: Tragedi Hitam 1975 Tayang di Pawagam Bermula 6 Februari 2025

Filem Thriller Limbungan: Tragedi Hitam 1975 Tayang di Pawagam Bermula 6 Februari 2025

Kepercayaan tentang harimau jadian yang mengamalkan ilmu hitam hingga mampu bertukar rupa menjadi harimau telah memberi inspirasi kepada syarikat Lil Studios Sdn. Bhd. untuk menghasilkan filem thriller terbaru, Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Filem ini diarahkan oleh Fazli Yasin dan membawa penonton menyelami mitos harimau jadian dalam konteks konflik pembangunan sebuah kampung pada tahun 1970-an.

Malam gala Limbungan: Tragedi Hitam 1975 telah berlangsung dengan meriah di GSC Starling Mall pada 25 Januari 2025.

Acara tersebut dihadiri oleh pengarah Fazli Yasin, barisan pelakon utama seperti Amerul Affendi, Kodi Rasheed, Cat Farish, Chacha Maembong, dan ramai lagi. Turut hadir adalah para jemputan khas, media, dan peminat filem tempatan.

Fazli berkongsi bahawa malam gala tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan hasil kerja keras seluruh produksi, tetapi juga untuk memperkenalkan filem ini kepada penonton yang mencintai seni cerita rakyat dan mitos Melayu.

Para hadirin turut diberi peluang menyaksikan babak-babak mendebarkan filem ini sebelum ia mula ditayangkan kepada umum.

Filem ini terinspirasi daripada kecintaan Fazli terhadap seni cerita rakyat dan mitologi Melayu. Kisahnya menceritakan dua pekerja Syarikat Maju Jaya, Ramli dan Malik, yang dihantar ke Kampung Limbungan pada 1975 untuk menyelesaikan rundingan tanah bagi projek pembinaan stesen hidroelektrik.

Namun, mereka dihadapkan dengan ancaman harimau jadian yang menyerang kampung setiap kali bulan purnama, mencetuskan ketegangan antara mitos dan realiti.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi (Ramli) dan Kodi Rasheed (Malik) sebagai watak utama.

Turut membintangi filem ini ialah Cat Farish, D’Boy Hamdan, Azan Addin, Bohari Ibrahim, dan Chacha Maembong.

Menurut Fazli, proses pembikinan filem ini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk mencari lokasi penggambaran yang sesuai serta menghasilkan kostum harimau jadian yang realistik.

“Cabaran lokasi menyebabkan kami membina set di hutan buatan bagi menjimatkan kos penggambaran,” jelasnya.

Limbungan: Tragedi Hitam 1975 akan ditayangkan di seluruh negara bermula 6 Februari 2025.

Filem ini menggabungkan elemen sejarah dengan kisah projek hidroelektrik Tasik Kenyir pada tahun 1975, menjadikan ia sebuah naskhah unik yang menghidupkan mitos harimau jadian dalam budaya Melayu.

Filem ini dijangka menghidupkan semula mitos Melayu sambil memberikan pengalaman sinematik mendebarkan kepada penonton.

Komen
Loading...