Filem Thriller “Balas Balik” Bawa Penonton Teroka Gelapnya Kuasa dan Dendam
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Kuasa, dendam, dan kezaliman di tempat kerja menjadi inti pati kepada filem terbaharu terbitan Shaibha Vision berjudul “Balas Balik”, arahan pengarah berpengalaman Feroz Kader.
Menampilkan barisan pelakon hebat tanah air, filem genre thriller psikologi ini dijadual menghantui layar perak mulai 29 Mei 2025.
Menurut pengarah Feroz Kader yang pernah menghasilkan Mr. Perfect 10, penekanan utama diberikan terhadap kekuatan jalan cerita dan skrip.
“Bila filem genre begini, story line (cerita) sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip. Tiga bulan juga saya ambil masa, berbincang dan tulis. Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang asalnya filem bukan drama,” katanya.
Sementara itu, pelakon utama Shukri Yahaya berharap penampilannya di layar perak kali ini dapat memecah jurang skeptikal antara pelakon televisyen dan pelakon filem.
“Sebelum ini rasanya ada skeptikal itu. Untuk saya, saya memang banyak berlakon drama sebab nak tunggu tawaran filem memang tiada. Cuma untuk pelakon drama macam saya dan lain-lain, kami juga berharap untuk dapat lebih banyak kepercayaan main filem, untuk pergi lebih jauh dan bawa impak lebih besar.
“Untuk penerbit dan pengarah lain, tolonglah eksplore pelakon drama untuk ke filem juga, kalau kena cara, kami boleh buat.” ujarnya.
Tambah Shukri lagi, dia berani menyahut cabaran membintangi Balas Balik kerana skrip dan genre filem ini sangat berbeza daripada apa yang biasa ditawarkan kepada pelakon drama.
Shukri juga menyifatkan peluang bekerja di bawah arahan Feroz Kader dalam Balas Balik sebagai satu keberuntungan, memandangkan hubungan profesional mereka telah lama terjalin.
“Banyak kali kami berkolaborasi. Malah, penglibatan awal saya dalam lakonan di layar kaca juga dari arahan Feroz. Dia faham cara kerja saya dan saya selesa di bawah arahannya,” kata Shukri.
Filem yang mengetengahkan watak utama Detektif Zul lakonan Shukri Yahaya mengupas misteri kematian mengejut seorang tokoh korporat berpengaruh Tuan Roslan lakonan Tony Eusoff.
Pada mulanya disangka akibat serangan jantung, Detektif Zul mencurigai wujudnya unsur pembunuhan selepas menemui beberapa petunjuk ganjil di lokasi kejadian.
Bersama rakan setugasnya Inspektor Jauhari (Meor Mohd), siasatan membuka satu demi satu rahsia gelap dunia korporat Global Communication yang diterajui Roslan.
Individu di sekeliling Roslan termasuk pekerja seperti Mimi (Maisara Sufia), Ikhwan (Razman Mahayuddin) serta rakan kongsi seperti Tuan Kamal (Zarul Umbrella) semuanya hidup dalam tekanan, ketakutan dan trauma akibat sikap kejam serta penyalahgunaan kuasa oleh Roslan.
Menariknya, filem ini tidak sekadar mendedahkan motif dendam tetapi turut mengangkat isu penindasan di tempat kerja serta kebejatan moral golongan elit korporat.
Marissa Yasmin, Adam Lee, Josiah Lim dan Isyariana turut melengkapkan barisan pelakon dengan persembahan yang menjentik emosi penonton.
Dengan suntingan yang kemas, sinematografi suram yang mengikat suasana serta lakonan yang menyengat, Balas Balik dijangka menjadi antara naskhah tempatan paling mencabar minda dan emosi penonton tahun ini.
Selain jalan cerita yang menarik, filem Balas Balik juga turut diserikan dengan lagu tema berjudul Balas yang dinyanyikan oleh Hariz Fayahet. Lagu ini dicipta dan ditulis oleh Nurzaidi Abd Rahman.
“Balas Balik” bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 29 Mei 2025.