Filem Seram Viral “Rego Nyowo” Bakal Gegar Pawagam Malaysia Bermula 7 Ogos
- oleh Mohd Indera
- 1 Aug 2025 1:13 pm

Selepas mencetuskan fenomena di Indonesia, filem Rego Nyowo kini bersedia menggempur pawagam Malaysia bermula 7 Ogos ini.
Diedarkan oleh Antenna Entertainment, filem ini berdasarkan kisah yang dimuat naik di platform Thread berjudul Kosan Berdarah yang mendapat perhatian jutaan pembaca dan akhirnya diangkat ke layar perak oleh pengarah tersohor Rizal Mantovani.
Kisah tersebut mengisahkan pengalaman menyewa di sebuah kosan murah yang kelihatan biasa tetapi menyimpan rahsia mengerikan.
Filem ini mengisahkan Lena yang dilakonkan oleh Sandrinna Michelle dan adiknya Benhur lakonan Ari Irham, dua beradik yang berpindah dari Jakarta ke Malang untuk meneruskan pelajaran.
Mereka menyewa di rumah kosan milik pasangan tua, Bu Astri lakonan Diah Permatasari dan Pak Wiryo lakonan Erwin Moron. Kehidupan yang pada awalnya kelihatan tenang berubah apabila salah seorang penyewa, Rina lakonan Cassandra Lee, diganggu mimpi melihat pocong tergantung.
Kejadian-kejadian misteri mula berlaku, membangkitkan ketakutan dalam kalangan penghuni dan membawa kepada pendedahan mengejutkan bahawa bayaran sebenar sewa rumah itu bukan wang tetapi nyawa.
Barisan pelakon filem ini dibintangi oleh Sandrinna Michelle, Ari Irham, Cassandra Lee, Diah Permatasari, Erwin Moron, Rayensyah Rassya, Zayyan Sakha, Sheva Audrey, Sinyo Riza, Robert Chaniago Timor, Marshanda Detri, Edbert Destiny, Tegar Satrya dan Monique Henry.
Pengarah Rizal Mantovani yang terkenal dengan karya seperti Jelangkung, The Doll dan Kuntilanak sekali lagi menyajikan penceritaan seram yang dekat dengan realiti masyarakat.
Satu tayangan khas anjuran Antenna Entertainment yang turut dihadiri media, pempengaruh dan penonton bertuah telah menerima sambutan dan maklum balas yang amat positif.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam bermula 7 Ogos 2025. Dapatkan tiket anda di www.tgv.com.my