Ikuti Kami:

Filem Seram Psikologi Together di Pawagam Mulai 31 Julai

Filem Seram Psikologi Together di Pawagam Mulai 31 Julai

Filem seram psikologi yang dinanti-nantikan, Together, bakal menggugat emosi penonton tempatan apabila ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 31 Julai ini.

Diarahkan oleh Michael Shanks, naskhah ini menampilkan bintang Hollywood Dave Franco dan Alison Brie dalam gandingan yang menyentuh sisi gelap sebuah hubungan perkahwinan.

Menggabungkan elemen cinta dan seram psikologi, filem ini mengisahkan pasangan yang berpindah ke luar bandar demi menyelamatkan hubungan mereka.

Namun, keadaan menjadi mengerikan apabila mereka mula bercantum secara fizikal, satu peristiwa yang menyingkap konflik dalaman yang selama ini membelenggu jiwa mereka.

Together mendapat pujian hangat selepas tayangan perdananya di Festival Filem Sundance, dengan ramai pengkritik menyifatkannya sebagai satu penceritaan berani yang menyelami trauma hubungan secara literal dan simbolik.

Ia turut diperkukuh dengan kesan khas praktikal yang mengerikan serta sinematografi yang membangkitkan rasa cemas dan tidak selesa.

Menjelang tayangan rasminya pada 31 Julai ini, tayangan perdana Together telah berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur semalam.

Acara tersebut dihadiri oleh barisan media tempatan serta pengkritik filem tanah air yang turut memberikan reaksi positif terhadap keberanian naskhah ini menampilkan subjek kompleks melalui pendekatan seram yang segar.

Antenna Entertainments Sdn. Bhd., sebagai pengedar rasmi filem ini di Malaysia, melihat Together sebagai satu karya luar biasa yang mampu menarik minat penonton tempatan yang dahagakan kandungan seram berkualiti.

Peminat genre seram, drama dan psikologi dijangka tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem ini yang menjanjikan gabungan unik antara ketakutan, cinta dan penyesalan. Tempahan tiket dibuka mulai minggu ini menerusi platform rasmi pawagam.

Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 31 Julai ini.

Komen
Loading...