Ikuti Kami:

Filem Seram Psikologi “LAKNAT” Sedia Menggegarkan Pawagam Bermula 5 Jun Ini

Filem Seram Psikologi “LAKNAT” Sedia Menggegarkan Pawagam Bermula 5 Jun Ini

Filem seram psikologi terbaru tempatan berjudul LAKNAT, arahan pengarah tersohor Saw Teong Hin, dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.

Menampilkan kisah penuh misteri dan elemen gangguan minda, filem ini membawa naratif gelap yang menguji batas kewarasan dan kepercayaan manusia terhadap realiti.

Diterbitkan oleh Real Films, LAKNAT mengisahkan watak Luth yang berdepan trauma kehilangan adiknya, Laila, secara misteri. Dalam usaha terdesak mencari jawapan, Luth menerima bantuan daripada Iblis yang menyamar sebagai ahli keluarganya.

Apa yang bermula sebagai pencarian, berubah menjadi mimpi ngeri apabila ilusi ciptaan syaitan mula memperdaya Luth hingga dia hilang pertimbangan, lalu mengorbankan orang-orang tersayang termasuk tunangnya, Murni, dan sahabatnya, Nafis.

Pengarah filem, Saw Teong Hin, menyifatkan LAKNAT sebagai pengalaman sinematik yang mendalam, penuh simbolisme dan kejutan psikologi.

“LAKNAT ialah sebuah pengalaman visual dan emosi yang menguji kewarasan dan kepercayaan seseorang terhadap realiti. Kami mahu penonton rasa gangguan itu sebelum mereka duduk di dalam pawagam,” katanya.

Barisan pelakon ternama yang membintangi filem ini termasuk Puteri Balqis, Aeril Zafrel, Amerul Affendi, Umie Aida, Jalil Hamid, Noorkhiriah dan penampilan khas Sofia Jane, yang dijangka membawa impak besar terhadap jalan cerita yang sarat dengan konflik dalaman dan unsur ghaib.

Menjelang tayangan rasminya, pihak penerbit menggerakkan kempen promosi besar-besaran secara kreatif dan bersemuka bagi memperkenalkan filem ini kepada orang ramai.

Salah satu strategi utama ialah kempen pelekat kenderaan khas LAKNAT yang melibatkan 10 buah kereta e-hailing yang dihiasi dengan rekaan filem dan digerakkan ke kawasan tumpuan tinggi seperti Bukit Bintang, Mydin Subang Jaya dan Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.

Selain itu, kempen interaktif “Spot, Snap & Win” yang sedang berlangsung dari 11 April hingga 24 Mei memberikan peluang kepada orang ramai untuk memenangi tiket ke malam gala tayangan perdana.

Setakat ini, 10 peminat telah dipilih sebagai pemenang dan 20 tiket lagi masih ditawarkan.

Dengan durasi 90 minit, LAKNAT bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya sebuah karya yang menyentuh persoalan besar tentang kepercayaan, pengorbanan dan kekuatan melawan tipu daya syaitan.

Filem ini juga mengangkat mesej mengenai bahaya khurafat dan pentingnya bergantung sepenuhnya kepada Tuhan dalam menghadapi ujian hidup.

LAKNAT, yang diedarkan oleh D’Ayu Pictures, bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 5 Jun 2025.

Komen
Loading...