Ikuti Kami:

Filem Seram Misteri Fraser 1910 Angkat Kisah Kehilangan Louis James Fraser

Filem Seram Misteri Fraser 1910 Angkat Kisah Kehilangan Louis James Fraser

Mengangkat kisah kehilangan misteri peneroka Bukit Fraser, Louis James Fraser, syarikat produksi tempatan, Millionaire Film Production Sdn Bhd tampil dengan filem sulung berjudul Misteri Fraser 1910 yang bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 26 Jun ini.

Filem berunsur seram ini diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku lebih seabad lalu apabila Fraser, seorang peneroka dari Scotland yang membuka Bukit Fraser sekitar tahun 1890, hilang secara misteri selepas menemui lubuk bijih timah di kawasan berkenaan pada tahun 1910.

Penerbitnya, Elani Aidid berkata, idea menghasilkan filem itu tercetus ketika beliau dan pasukannya menjalankan tinjauan lokasi penggambaran bagi projek lain di Bukit Fraser pada 2019.

Katanya, ketika berada di sana, beliau terbaca sejarah mengenai kehilangan Fraser dan tertarik apabila mendapati terdapat beberapa laluan mendaki dinamakan sempena individu yang terlibat dalam operasi pencarian seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail.

“Saya mula membuat kajian lanjut dan mencipta teori fiksyen berkait kehilangan Fraser berdasarkan sejarah tempatan serta cerita daripada penduduk setempat. Dari situ tercetusnya filem ini,” katanya.

Filem berkenaan menampilkan pelakon Josiah Hogan sebagai Louis James Fraser bersama barisan pelakon popular seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra serta penampilan khas Datuk Rahim Razali dan A. Galak.

Menurut Elani, kekuatan filem ini bukan hanya pada elemen seram semata-mata, sebaliknya ia turut menampilkan aspek sejarah serta latar klasik tahun 1910, termasuk penggunaan dialog bahasa baku lama, busana klasik dan prop yang sesuai dengan era tersebut.

Katanya, jalan cerita filem ini dibina berdasarkan gabungan fakta dan fiksyen, dengan 50 peratus daripadanya bersumberkan kisah benar, manakala selebihnya ditokok tambah bagi memenuhi keperluan penceritaan dan penonton moden.

“Penulisan skrip ini dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem. Ia dibangunkan di bawah pemantauan panel skrip berpengalaman bagi memastikan jalan ceritanya berkembang dengan baik dan berkualiti,” katanya.

Tambah Elani, filem ini juga telah menarik perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih menyertai kategori Best First-Time Filmmaker di Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 yang berlangsung di Pinewood Studio, United Kingdom, bersaing dengan 26 filem lain dari pelbagai negara.

Katanya, sambutan yang diterima sepanjang festival yang berlangsung dari 21 April hingga 4 Mei lalu amat memberangsangkan apabila menerima undian tinggi daripada penonton antarabangsa.

Sebagai penerbit, Elani berharap Misteri Fraser 1910 mendapat sambutan baik daripada penonton tempatan, terutamanya peminat filem seram yang mahukan sesuatu yang berbeza dan berkualiti.

Filem ini mengisahkan Louis James Fraser yang membuka Bukit Fraser sebagai penempatan perlombongan bijih timah sebelum hilang secara tiba-tiba pada tahun 1910. Sejak kehilangan itu, pelbagai misteri mula berlaku termasuk kepada individu yang mengambil alih tempat tinggal dan perniagaan Fraser.

Antara pelakon lain yang turut menjayakan filem ini ialah Aloeng Silasilahi, Siraj Alsagoff, Izuan Razali, Zalfa Zin, Babah Nadeen, Eddie Persia, Henzi Andalas, Geoff Feyerts, Ted Moxham, Mohd Zainal Mohd Isa, Faha Azhar dan Anne Abdullah. Elani sendiri turut berlakon sebagai watak Jennifer.

Filem Misteri Fraser 1910 bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 26 Jun ini.

Komen
Loading...