Filem Seram Ikonik Kembali! 28 Years Later Bawa Penonton Ke Dunia Pasca-Wabak
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu

Selepas hampir tiga dekad meninggalkan impak besar dalam genre filem seram, 28 Days Later kini menerima kesinambungan yang dinanti-nantikan menerusi filem baharu berjudul 28 Years Later.
Merupakan filem ketiga dalam siri seram 28 Days Later, 28 Years Later hadir selepas dua filem terdahulu yang mencipta fenomena iaitu 28 Days Later (2002) dan 28 Weeks Later (2007).
Sekali lagi, pengarah pemenang Oscar®, Danny Boyle dan penulis skrip dicalonkan Oscar®, Alex Garland bergabung tenaga untuk menghidupkan dunia pasca-wabak yang kini lebih gelap dan menggugat emosi.
Kisah baharu ini berlatarkan sebuah pulau terpencil di mana sekumpulan manusia masih bertahan selepas dunia dijangkiti virus “rage” yang merubah manusia menjadi makhluk ganas. Pulau ini dihubungkan ke tanah besar melalui satu-satunya tambak yang dikawal ketat.
Namun, apabila salah seorang daripada mereka berani merentasi sempadan tersebut ke tanah besar, dia terpaksa berdepan dengan realiti yang lebih ngeri — di mana mutasi dan kegilaan bukan hanya berlaku pada yang dijangkiti, tetapi juga dalam kalangan manusia yang terselamat.
Barisan pelakon mantap seperti Jodie Comer, Aaron Taylor-Johnson, Jack O’Connell, Alfie Williams dan Ralph Fiennes membintangi filem ini, menjanjikan lakonan penuh emosi dan intensiti.
Cillian Murphy, yang pernah memegang watak utama dalam filem asal 28 Days Later, kini tampil sebagai penerbit eksekutif — sekali gus membakar harapan peminat terhadap kemungkinan watak lamanya kembali ke layar.
Filem ini diterbitkan oleh Andrew Macdonald, Peter Rice, Bernard Bellew, Danny Boyle dan Alex Garland sendiri, dan dilihat sebagai naskhah penting yang bakal menghidupkan semula legasi 28 Days Later dengan pendekatan moden, penuh psikologi dan seram mendalam.
Dengan kisah yang menekan jiwa, suasana yang menghantui dan realiti dunia yang rapuh, 28 Years Later dijangka menjadi antara filem seram paling hangat tahun ini. Nantikannya di pawagam seluruh Malaysia, 19 Jun 2025.