Ikuti Kami:

Filem Seram “Bisikan Dosa” Menghantui Pawagam 9 Jan Ini

Filem Seram “Bisikan Dosa” Menghantui Pawagam 9 Jan Ini

Telah berlangsung Malam Gala Filem Seram Bisikan Dosa dengan penuh gemilang di TGV KLCC pada malam Isnin, menjadi pembuka tirai bagi industri filem seram tempatan pada tahun 2025.

Acara ini dihadiri oleh barisan pelakon, krew produksi, dan jemputan khas, menandakan tayangan perdana filem tersebut sebelum menghantui di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Januari 2025.

Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn Bhd dan diarahkan oleh Faizul A. Rashid, Bisikan Dosa menjanjikan pengalaman seram yang luar biasa dengan plot cerita penuh kejutan.

Filem ini mengisahkan tentang Sarimah (lakonan Sara Ali), seorang wanita yang memulakan kehidupan baharu di Kuala Lumpur selepas kehilangan anak dan dikhianati suami.

Kehidupannya berubah apabila dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden (lakonan Farid Kamil), di mana dia mula diganggu oleh roh Zara (lakonan Uqasha Senrose), arwah isteri Ayden.

Pengarah Faizul A. Rashid turut menyatakan bahawa babak-babak seram dan ‘jumpscare’ telah diolah dengan teliti untuk memberikan impak terbaik kepada penonton.

“Filem ini bukan sekadar sebuah naskhah seram semata-mata, tetapi penceritaannya juga cukup menarik dan membuatkan penonton perlu menontonnya sehingga habis untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku.

“Untuk babak-babak seram dan jumpscare, saya akan pastikan ia adalah yang terbaik dan barulah akan dimasukkan dalam filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton,” ujarnya.

Pada masa sama, Faizul turut berpuas hati dengan lakonan yang telah ditampilkan oleh barisan-barisan pelakon dengan masing-masing dapat menjiwai watak mereka dengan baik dan berkesan.

Menurut penerbit Yusry Makmor, idea untuk menghasilkan filem Bisikan Dosa tercetus apabila dia bersama Zafran sedang brainstorm serta membuat kajian berkaitan filem-filem seram yang mana menjadi tarikan kepada penonton pada ketika ini.

“Filem ini adalah satu naskah yang tepat untuk diangkat menjadi satu filem seram yang mana ia bakal menjadi satu fenomena buat penonton yang masih dahagakan filem tempatan bergenre seram.

“Filem seram adalah salah satu genre yang dinantikan penonton, penceritaan Bisikan Dosa adalah satu jalan cerita yang realistik, misalnya amalan syirik seperti mandi bunga masih diamalkan oleh sebilangan manusia tanpa mengira darjat dan keturunan walau dalam zaman yang serba moden kini,” jelasnya.

Lebih menarik, Bisikan Dosa dirakam secara serentak bersama sebuah prekuel yang akan dikeluarkan selepas ini.

Kedua-dua filem ini berjaya dirakamkan dalam tempoh hanya 25 hari, satu pencapaian luar biasa yang membuktikan dedikasi dan kecekapan pasukan produksi.

Menurut Yusry Makmor lagi, prekuel tersebut bakal merungkai kisah asal-usul roh Zara dan memberikan lebih banyak konteks kepada jalan cerita utama.

Selain tayangan eksklusif filem, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh Tyra Remy  yang mendendangkan lagu tema filem ‘Bisikan Dosa’, Sehidup Semati.

Filem ini di sokong oleh Finas & Rakan Strategik Pemasaran Primeworks Studios, Media Prima Bhd.

Filem Bisikan Dosa bakal ditayangkan serentak di 134 pawagam seluruh Malaysia dan turut diedarkan di peringkat antarabangsa oleh Ayu Pictures, meliputi negara Thailand, Indonesia, dan Kemboja, sekaligus memperluaskan capaian filem tempatan ke pasaran luar negara.

Barisan Pelakon Utama:

Uqasha Senrose sebagai Zara
Sara Ali sebagai Sarimah
Farid Kamil sebagai Ayden
Juliana Evans sebagai Delina
Sherie Merlis sebagai Puan Seri
Syazuwan Hassan sebagai Faliq
Mustaqim Bahadon sebagai Shazlan
Khir Rahman sebagai Inspektor Haida
Aida Aris sebagai Mak Lang
Hafiz Nafiah sebagai Salim
Daniel sebagai Iman

Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam mulai 9 Januari 2025!

Komen
Loading...