Filem Seram Baharu Osman Ali, Telaga Suriram Bongkar Kepercayaan Lama Kampung
- oleh Mohd Indera
- 5 hari lalu

Pengarah tersohor Osman Ali kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Telaga Suriram, sebuah filem seram yang bukan sekadar menghiburkan tetapi turut menyelami kepercayaan mistik masyarakat kampung yang masih berakar hingga ke hari ini.
Mengambil inspirasi daripada kisah benar yang pernah tular satu ketika dahulu, Telaga Suriram mengangkat tragedi kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram yang dikaitkan dengan sebuah telaga lama yang dipercayai berhantu.
Kepercayaan terhadap ‘telaga mengambil nyawa’ menjadi teras kepada naratif filem yang menyentuh sisi psikologi dan budaya masyarakat luar bandar.
“Saya mahu paparkan bagaimana kepercayaan mitos yang diwarisi turun-temurun masih membentuk cara masyarakat kita melihat sesuatu tragedi,” ujar Osman. “Telaga Suriram bukan sekadar tentang hantu, tetapi tentang ketakutan yang terbina daripada cerita-cerita lama yang tidak pernah lenyap.”
Filem ini membongkar sisi gelap kepercayaan lama yang masih diamalkan sesetengah komuniti, dari kisah korban saka sehinggalah kepada pengaruh anasir ghaib dalam kehidupan seharian.
Pendekatan filem ini dilihat lebih menyeluruh kerana turut mengangkat realiti emosi dan konflik sosial masyarakat desa.
Turut menjayakan filem ini ialah barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Nabila Huda, Ellie Suriaty dan pelakon kanak-kanak Puteri Rafasya.
Maya membawa watak Rohaya, seorang ibu yang tidak berputus asa mencari anaknya, sementara Scha memegang watak Inspektor Karmila, pegawai penyiasat yang cuba mencari kebenaran di sebalik misteri kehilangan.
Proses penggambaran yang berlangsung selama 45 hari di Perlis, Kedah dan Perak memberikan cabaran tersendiri kepada produksi.
Menurut Osman, lokasi yang dipilih bukan sekadar untuk visual, malah mempunyai latar kisah mistik tersendiri yang menambah keaslian suasana.
“Kami mengalami sendiri beberapa kejadian aneh – dari suara misteri hingga kru merasa diperhatikan. Tapi itu menjadikan pengalaman lebih bermakna dan sejajar dengan tema filem,” katanya.
Penerbit filem, Yus Yusop dari Odissi Creative Sdn. Bhd. menyatakan filem ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Segalanya bermula dari minat mendalam terhadap cerita rakyat dan semangat untuk membawa kisah penuh budaya ke layar perak.
“Filem ini bukan hanya untuk peminat genre seram. Kami harap ia menarik minat mereka yang menghargai seni, sejarah dan warisan budaya kita,” jelas Yus.
Telaga Suriram mengisahkan misteri kehilangan Suriram, seorang kanak-kanak di sebuah kampung terpencil.
Ketika Rohaya dan suaminya Sopiyan berusaha mencari anak mereka, pelbagai desas-desus mengenai gangguan saka dan telaga berhantu mula tersebar.
Maimon, pengasuh bisu Suriram, menjadi suspek utama. Zakir, seorang pemuda kampung yang menuntut keadilan, berganding bahu dengan Inspektor Karmila untuk merungkai kebenaran yang menyelubungi telaga berpuaka itu.
Saksikan Telaga Suriram di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025 – sebuah filem yang menyatukan kepercayaan lama, emosi seorang ibu, dan pertarungan menentang kejahatan yang tidak kelihatan.