Filem Pendek Taufan Al-Aqsa: ‘Ini Cara Saya Menyumbang Demi Palestin’ – Aeril Zafrel
- oleh MDaily Editor
- 8 Feb 2026 1:57 pm
Menyedari kekangan diri untuk berbicara mengenai isu geopolitik di media sosial, pelakon popular Aeril Zafrel memilih medium seni sebagai wadah untuk menyuarakan solidariti serta membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menerusi naskhah pendek terbaharunya berjudul Taufan Al-Aqsa, Aeril yang memegang watak utama sebagai Ahmad, seorang ejen Al-Qassam, menyifatkan karya tersebut sebagai sumbangan peribadinya dalam menyebarkan mesej perjuangan dan kemanusiaan.
“Saya bukan orang yang pandai bercakap tentang isu Palestin di media sosial. Jadi, ini cara saya menyumbang, berkongsi maklumat melalui karya.
“Filem ini bertujuan mempromosikan dan memperingati perjuangan Palestin. Ia bukan sekadar cerita, tetapi satu panggilan hati agar penonton merasai apa yang dialami rakyat di sana,” katanya ketika ditemui pada aksi flash mob promosi filem berkenaan di Bukit Bintang, semalam.

Filem pendek berdurasi 40 minit itu menceritakan keberanian Ahmad yang berjuang mempertahankan tanah airnya sehingga syahid, sekali gus diharapkan dapat memberi inspirasi mengenai erti kesetiaan dan pengorbanan demi agama serta negara.
Mengulas mengenai proses penggambaran, Aeril menjelaskan meskipun hanya mengambil masa selama lima hari, cabaran utama adalah untuk menghidupkan suasana peperangan sebenar di bumi Palestin memandangkan lokasi penggambaran dijalankan di sekitar kawasan lapang di Shah Alam, Selangor.
Bagi memastikan visual yang dinamik dan realistik, pasukan produksi memanfaatkan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) bagi menyesuaikan latar belakang Malaysia dengan atmosfera di Gaza.
“Kami banyak menggunakan ‘short-short’ kerana agak sukar menggambarkan suasana peperangan sebenar di sini. Cuaca dan latar belakang di Malaysia berbeza, jadi penggambaran banyak dilakukan di kawasan lapang dengan bantuan CGI,” ujarnya lagi.

Selain Aeril, filem yang padat dengan emosi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat termasuk isterinya, Wawa Zainal, Ungku Hariz, Zaim Shaari, Ali Karime, PU Salman dan Shaukat.
Tambah Aeril, setiap babak diolah dengan teliti bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan benar-benar menyentuh jiwa penonton dan bukan sekadar bersifat hiburan kosong.
“Kami mahu penonton bukan sahaja menonton, tetapi merasai, menghayati dan membawa pulang mesej perjuangan ini dalam diri mereka,” tegasnya.

Taufan Al-Aqsa dijadualkan menemui penonton pada 19 Februari ini menerusi platform penstriman langsung di White Stream dengan akses bayaran hanya RM10. Sebelum tayangan perdana, Aeril turut menjanjikan perkongsian ‘trailer’ eksklusif bagi memberi gambaran awal kepada umum.




