Filem Pendek ‘LIFE – Living In Fear Everyday’ Menang Besar di Thailand dan India
- oleh MDaily Editor
- 19 Mar 2026 2:37 pm
Di sebalik kemasyhuran filem-filem bajet besar, sebuah karya seni tempatan yang dihasilkan dengan modal kurang RM1,000 mula mencuri perhatian dunia.
Filem pendek bisu moden bertajuk LIFE – Living In Fear Everyday, arahan pengarah muda berbakat, Justin Franz, membuktikan bahawa kekangan kewangan bukan penghalang untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Dihasilkan sepenuhnya menggunakan hanya dua buah telefon pintar (iPhone 12 Pro dan iPhone 14 Pro Max), filem ini berjaya merangkul anugerah utama di Festival Filem Antarabangsa Asia Tenggara (Thailand) bagi kategori Filem Pendek Dramatik Terbaik serta Persembahan Luar Biasa menerusi pelakonnya, Max Gauduchon.

Tidak terhenti di situ, kecemerlangan LIFE berterusan di Festival Filem Antarabangsa Golden Lion (India) apabila Justin Franz dinobatkan sebagai Pengarah Filem Debu Terbaik.
Mengulas mengenai naskhah berkenaan, Justin menjelaskan bahawa LIFE sengaja dihasilkan tanpa sebarang dialog bagi membolehkan emosi dan penceritaan visual berbicara secara universal.
“Inspirasi filem ini datang daripada momen peribadi yang mengubah persepsi saya terhadap sifat ihsan dan kemanusiaan. Kami mahu menunjukkan bahawa setiap nyawa mempunyai nilai, tanpa mengira bahasa atau budaya,” katanya.
Proses penggambaran dilakukan secara gerila dengan kru yang hanya terdiri daripada dua orang, termasuk Pengarah Fotografi, Suran Hassan. Segala fasa produksi, daripada pra-produksi sehingga suntingan akhir, dikendalikan sepenuhnya secara bebas (independent).

Justin Franz (kiri).
Meskipun pada awalnya berdepan cabaran mendapatkan dana dan skeptisisme terhadap genre filem bisu di Malaysia, semangat Justin tidak luntur hasil galakan bekas Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman.
Selain Max Gauduchon, filem ini turut membariskan bakat baharu seperti Elli Famira, Ken Thayalan, dan Aairenee Zarina, dengan penampilan istimewa oleh Rika Adrina.
Susulan sambutan hangat di United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kanada, Justin kini dalam perancangan untuk mengembangkan LIFE menjadi filem cereka atau siri mini bisu.
Beliau juga sedang giat membangunkan projek kedua bertajuk LEDGE yang mendapat sokongan rumah produksi. Secara berseloroh, Justin memberitahu bajet untuk karya akan datang telah meningkat 100 peratus iaitu sebanyak RM2,000.
“Misi saya adalah untuk terus menghasilkan filem yang mencabar konvensyen dan mengingatkan penonton tentang kuasa empati,” tambahnya lagi.
Kejayaan ini turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, yang berkongsi pencapaian tersebut di media sosial, sekali gus meletakkan nama Malaysia dalam peta sinema digital dunia.




