Filem Papa Tonjol Pengorbanan Seorang Bapa, Tayangan Bermula Jun 2025
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Sebuah filem menyayat hati yang mengetengahkan kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang bapa akan menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 12 Jun 2025.
Filem bertajuk Papa ini mengangkat tema kekeluargaan dalam suasana penuh emosi, bersempena dengan sambutan Hari Bapa yang diraikan pada bulan yang sama.
Hasil garapan pengarah terkenal Hong Kong, Philip Yung, filem ini sudah pun mencipta sejarah apabila meraih tiga anugerah utama di Anugerah Filem Hong Kong ke-43.
Pelakon berpengalaman Sean Lau Ching Wan dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya sebagai seorang bapa yang terpaksa berdepan tragedi keluarga yang tragis.
Jo Koo pula memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, manakala pendatang baharu Dylan So diiktiraf sebagai Pelakon Baru Terbaik.
Papa mengisahkan watak Nin, seorang pemilik kafe yang menjalani kehidupan sederhana. Hidupnya berubah selepas anak lelakinya, Ming, membunuh isteri dan anak perempuannya akibat penyakit skizofrenia. Ming kemudiannya dihantar ke institusi psikiatri untuk rawatan tanpa tempoh yang ditetapkan.
Walaupun dihimpit rasa bersalah dan kesedihan, Nin tidak pernah berpaling daripada anaknya. Beliau terus setia melawat Ming dua kali sebulan dengan satu harapan yang tidak pernah padam – bahawa suatu hari nanti, anak tunggalnya itu akan pulang ke pangkuannya.
Filem ini diinspirasikan daripada kes sebenar yang berlaku di Hong Kong pada tahun 2010 dan mengambil masa sepuluh tahun untuk direalisasikan.
Walaupun bermula daripada tragedi, filem ini lebih menekankan perjalanan emosi dan kekuatan seorang ayah dalam mendepani kehilangan, keampunan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Papa bukan sekadar drama jenayah, sebaliknya ia adalah sebuah kisah mendalam tentang kemanusiaan dan ketabahan dalam keluarga. Dengan arahan mantap, skor muzik menyentuh jiwa dan lakonan berkesan, filem ini dijangka memberi kesan mendalam kepada penonton.
Filem ini dibawakan ke Malaysia oleh Lotus Five Star Sdn Bhd, Five Star AV Sdn Bhd dan Jazzy Pictures, dengan sokongan rakan media MY FM dan MELODY serta rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing Sdn Bhd.
Papa bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 Jun 2025. Ia adalah satu karya yang wajar ditonton oleh semua, khususnya dalam mengenang pengorbanan seorang bapa.