
LAKNAT, sebuah filem seram psikologi yang diinspirasikan daripada kisah benar, membawa penonton menelusuri sisi gelap kehidupan manusia yang sanggup menyekutukan Tuhan demi memenuhi kehendak duniawi.
Diarahkan oleh pengarah berkaliber, Saw Teong Hin, LAKNAT bukan sekadar menawarkan hiburan menyeramkan, sebaliknya mengetengahkan mesej mendalam mengenai bahaya syirik, khurafat dan tipu daya iblis terhadap jiwa manusia.
Menurut Saw Teong Hin, beliau berpuas hati dengan persembahan luar biasa pelakon-pelakon dalam membawakan watak-watak yang mencabar emosi dan spiritual.
“Semua lakonan memang luar biasa, dan itu membuatkan tugas saya sebagai pengarah menjadi jauh lebih mudah. Saya hanya perlu memberi panduan dan mereka bukan sahaja mencapai standard yang diperlukan, malah melampauinya,” katanya dalam sidang media sempena Malam Gala dan Tayangan Perdana yang berlangsung di GSC Mid Valley pada malam Isnin.
LAKNAT mengisahkan tentang bagaimana Luth, lakonan Aeril Zafrel, terjerumus ke lembah perjanjian dengan syaitan selepas kehilangan adik perempuannya, Laila (Puteri Balqis).
Dalam keadaan jiwa yang lemah, Luth mula menyelami dimensi gelap yang didalangi oleh Laqqus, makhluk jahat yang menyamar sebagai insan terdekat untuk memperdayanya.
Usahanya untuk mencari punca kematian Laila berubah menjadi perjalanan ngeri yang membongkar kebenaran penuh ilusi dan kemungkaran. Dalam kancah tipu daya ini, terungkap pula sisi gelap orang-orang yang paling dipercayainya.
Watak lain yang memperkuatkan jalan cerita termasuk Jalis (Jalil Hamid), Wani (Noorkhiriah), Murni (Mila Mohsin), Murtaza (Amerul Affendi), Iman Haswa (Ismail Yaacob), Nafis (Naqiu Ariffin) dan penampilan khas Sofia Jane masing-masing memberi dimensi berbeza dalam penceritaan yang sarat emosi dan konflik keimanan.
Penerbit filem, Harith Shah Idris, menegaskan bahawa LAKNAT melalui proses tapisan ketat termasuk dari pihak berautoriti agama seperti JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri.
“Skrip filem ini melepasi semua peringkat penapisan dari JAKIM hingga Lembaga Penapisan Filem oleh KDN, dan selepas itu barulah sampai ke tangan Pengarah, Tiong Hin. Ia satu proses panjang untuk mendapatkan pengesahan dan kelulusan, termasuk rombakan skrip selama dua hingga tiga bulan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat penggunaan “mantra sebenar” dalam versi awal skrip, yang kemudiannya ditukar kepada bentuk yang lebih sesuai atas nasihat pihak berautoriti.
“JAKIM beri nasihat dan rujukan. Kita ambil serius dan patuhi supaya naskhah ini tidak lari dari nilai akidah, walaupun dalam konteks genre seram,” tambahnya.
Filem ini mengingatkan bahawa iblis adalah musuh nyata dan bahawa hanya kepada Allah SWT tempat bergantung. Ia membongkar bagaimana kepercayaan kepada unsur khurafat dan tahyul, jika tidak dibendung, boleh merosakkan iman dan membawa kepada laknat.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri kreatif, Saw Teong Hin sekali lagi membuktikan kemampuannya membina penceritaan sinematik yang bukan sahaja menghibur tetapi juga menyedarkan.
Naskhah ini diterbitkan oleh Real Films, dengan kerjasama penerbit bersekutu Tutan Entertainment dan edaran rasmi oleh D’Ayu Pictures.
LAKNAT akan ditayangkan secara rasmi bermula 5 Jun 2025 di pawagam seluruh Malaysia.