Ikuti Kami:

Filem Komedi Islamik Thailand, Isan Nikah Temui Penonton Malaysia 17 Julai

Filem Komedi Islamik Thailand, Isan Nikah Temui Penonton Malaysia 17 Julai

Sebuah filem komedi Islamik dari Thailand berjudul Isan Nikah bakal menemui penonton Malaysia bermula 17 Julai ini, membawakan kisah lucu dan penuh makna tentang cabaran perkahwinan campur antara agama dan budaya.

Filem terbitan syarikat produksi Monwichit Entertainment ini diarahkan oleh Kriangkrai Monwichit, yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi filem seram Islamik Khong Khaek.

Berbeza kali ini, Isan Nikah disajikan dalam genre komedi yang mengangkat tema cinta, kepercayaan dan kekeluargaan dari perspektif masyarakat Islam di selatan Thailand.

“Isan Nikah menceritakan tentang seorang gadis Muslim dari Pattani bernama Sophia yang ingin berkahwin dengan kekasihnya, Bak Kai, seorang jejaka Buddha dari wilayah Isan yang kemudian memeluk Islam. Namun, perkahwinan mereka ditentang oleh abang Sophia, Bang Lee, yang menyimpan trauma masa lalu,” kata Kriangkrai dalam kenyataan.

Menurutnya, filem ini bukan sekadar hiburan ringan, malah turut mengetengahkan budaya, makanan, bahasa dan keindahan kampung halaman di selatan Thailand, menjadikannya naskhah yang unik dan dekat dengan penonton serantau.

Barisan pelakon Isan Nikah menampilkan bintang terkenal Thailand seperti Nattawut Sanyabut (Bak Kai), Kamonporn Sangwatcharasoontorn (Sophia), Amadkuciasree Doloh (Bang Lee), Chatchai Chinnasri (Bak Jei) dan Adull Borsu (Bang Dull).

Filem ini akan diedarkan oleh Empire Film Solution Sdn Bhd di Malaysia.

Pengarah Urusan Empire Film Solution, Mohamad Zubir Badar Shair berkata pihaknya yakin filem ini mampu mencuri perhatian penonton tempatan yang sebelum ini lebih dikenali sebagai peminat filem seram dari Thailand.

“Sudah tiba masanya penonton kita disajikan dengan komedi Islamik yang membawa elemen budaya dan nilai masyarakat Islam di selatan Thailand. Isan Nikah mempunyai kekuatan dari sudut penceritaan yang segar dan penuh nilai kemanusiaan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan filem ini diharapkan mampu membuka ruang kepada lebih banyak filem Islamik dari Thailand menembusi pasaran Malaysia.

Isan Nikah berkisarkan tentang Sophia, seorang gadis Muslim dari Pattani yang ingin berkahwin dengan kekasihnya, Bak Kai, seorang pemuda Buddha dari Isan yang memeluk Islam demi cinta. Namun, abang Sophia, Bang Lee, menentang perkahwinan itu kerana trauma masa lalu melibatkan ibu mereka. Pelbagai taktik digunakan untuk menggagalkan perkahwinan tersebut, mencetuskan pelbagai insiden lucu dan menyentuh hati.

Dengan gabungan komedi, budaya dan mesej perpaduan, Isan Nikah dijangka membawa kelainan kepada landskap filem Islamik yang jarang diterokai dari sudut komedi di rantau ini.

Komen
Loading...