
Filem adiwira tempatan, Keluang Man, kini bersedia mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila ia akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 29 Mei 2025.
Keluang Man ialah sebuah filem aksi komedi adiwira Malaysia baharu berdasarkan siri animasi yang disiarkan di saluran TV1 pada 1998 sehingga 2005.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menegaskan bahawa Keluang Man membawa tanggungjawab besar sebagai adiwira ‘original’ Malaysia.
“Tanggungjawabnya memang sangat besar, filem Keluang Man ini bukanlah ‘remake’. Ia adalah penggambaran semula ikon kebangsaan dan apa yang kami cuba lakukan di sini adalah menghubungkan nostalgia lama dengan harapan moden generasi baharu,”
“Kami berharap semua dapat menerima apa yang telah kami hasilkan,” katanya semasa sidang media selepas tayangan perdana filem itu di IOI City Mall, Putrajaya malam tadi,
Raja Jastina juga menekankan usaha keras semua yang terlibat dalam menghasilkan filem ini dengan penuh komitmen.
“Seperti yang disebutkan sebelum ini, semua orang telah memberi usaha seratus peratus dengan sepenuh jiwa dan raga. Filem ini juga telah menggunakan seratus peratus tenaga tempatan,” katanya.
Turut hadir YBrs. En. Nik Kamaruzaman Nik Hussin Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) bersama YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.
Sementara itu, pengarah filem Anwari Ashraf berkata mereka cuba mengekalkan jiwa watak Borhan daripada animasi asal sambil membawa elemen baharu menerusi pendekatan ‘Postmodernist Filmmaking’.
“Filem ini menghormati karya terdahulu sambil menawarkan naratif yang lebih segar dan unik untuk penonton hari ini. Harapan kami ialah karya ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Anwari Ashraf merupakan pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis Kahar : Kapla High Council serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip. Naskhah ini menandakan kemunculan pertama Anwari sebagai pengarah filem.
Filem ini menampilkan pelakon hebat antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, dan Dennis Yin. Lebih mengujakan filem ini turut membariskan deretan kemunculan istimewa oleh Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Fazzoq Muqris, Daniella Sya, Wahid Senario, Azlee Senario, Delimawati, A Galak, AG Hafiz, Razzuan Rosli, dan ramai lagi.
Filem Keluang Man mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi sering melarikan diri dari hospital di malam hari.
Apabila sejarah lamanya menghantui, pesakit yang menghidapi ‘Dissociative Schizophrenia’ ini mula berniat membalas dendam, dan tanpa sengaja, Borhan membentuk identiti barunya sebagai seorang superhero, Keluang Man.
Filem ‘live-action’ berdurasi 131 minit ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions.
Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.