Filem Hayya 3: Gaza Bawa Misi Kemanusiaan dan Sumbangan Buat Rakyat Palestin
- oleh MDaily Editor
- 24 Oct 2025 11:15 pm
Pelakon Utama Setiana Dewi, Amna Hasanah dan Adhin Abdul Hakim yang hadir di Tayangan Perdana filem yang diadakan di TGV, Pavilion Bukit Jalil.
Filem kemanusiaan Hayya 3: Gaza bukan sekadar karya hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi medium perjuangan dan solidariti apabila sebahagian hasil kutipannya bakal disalurkan terus kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan di Gaza.
Karya arahan Jastis Arimba ini diterbitkan oleh Warna Pictures dan 786 Productions, serta diedarkan oleh Horizon Film Entertainment dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia, Malaysian Women’s Coalition For Al Quds And Palestine, Friends of Palestine dan Palestinian Cultural Organization.

Menariknya, Hayya 3: Gaza turut menampilkan inisiatif murni apabila 10 peratus hasil kutipan tayangan filem akan disalurkan kepada tabung bantuan Gaza, menjadikan ia bukan sekadar tontonan tetapi juga bentuk sumbangan nyata buat rakyat Palestin.
Menurut Pengarah Jastis Arimba, filem ini bukan sekadar projek kreatif, tetapi lahir daripada semangat perjuangan untuk menyuarakan kebebasan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Bagi saya, filem ini tidak hanya sebatas karya atau hiburan. Ia adalah hasil dari usaha kreatif saya dan seluruh pasukan untuk membersamai perjuangan dan menyuarakan kebebasan buat saudara-saudara kita di Gaza,” katanya ketika tayangan perdana dan sidang media yang berlangsung di TGV, Pavilion Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Jastis Arimba, filem ini dihasilkan dengan semangat perjuangan dan keinsafan terhadap nasib rakyat Palestin yang terus ditindas.
“Buat saya, filem ini tidak hanya sebatas karya atau hiburan. Ia adalah usaha kreatif yang membawa semangat perjuangan dan kebebasan untuk saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.
Pelakon dan pendakwah terkenal, Oki Setiana Dewi, yang juga bertindak sebagai pelakon utama dan penerbit eksekutif, berkata penyertaannya dalam filem ini adalah sebahagian daripada misi sosial dan kemanusiaan yang lebih besar.

“Menerusi filem ini, kami berusaha menghidupkan kembali kesedaran masyarakat terhadap Palestin. Menonton filem ini juga satu bentuk sedekah kerana sebahagian hasilnya akan disumbangkan kepada Gaza,” katanya.
Sementara itu, Asma Nadia, penulis skrip dan penerbit filem tersebut, turut menzahirkan penghargaan kepada penonton Malaysia serta menyeru masyarakat untuk menonton pada hari pertama tayangan bagi menyokong perjuangan yang dibawa filem ini.
“Kami berharap masyarakat Malaysia turun menonton pada hari pertama kerana jumlah penonton awal menentukan jangka hayat sesebuah filem. Hayya 3: Gaza bukan sekadar tontonan, tetapi tayangan penuh tuntunan,” katanya.

Asma turut berkongsi bahawa menerusi Hayya 1, pihak produksi berjaya menyumbangkan sebanyak USD170,000 kepada Palestin melalui tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan berharap filem ketiga ini akan memberi impak lebih besar.
“Situasi di Gaza tidak semakin baik. Filem ini menjadi usaha kecil kami untuk terus menyuarakan isu Palestin dan mengajak masyarakat Malaysia serta Indonesia bekerjasama menghasilkan lebih banyak projek kemanusiaan,” katanya lagi.
Penerbit eksekutif, Ustaz Erick Yusof, yang juga wakil Majelis Ulama Indonesia (MUI), menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin merupakan tanggungjawab bersama umat Islam di seluruh dunia.
“Permasalahan Gaza bukan hanya masalah rakyat Palestin, tetapi masalah kita semua. Filem ini mengajak kita bersatu hati dan bersolidariti dalam membantu mereka,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar seni dan budaya dijadikan platform penyatuan dan kesedaran global.
“Melalui seni, kita boleh menyatukan hati dan memperkukuh semangat kemanusiaan. Mudah-mudahan filem ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih besar antara pembikin filem Malaysia dan Indonesia,” tambahnya.
Filem ini mengisahkan Abdullah Gaza, anak yatim yang kehilangan ayahnya ketika menjadi sukarelawan di Palestin. Gaza kemudian ditempatkan di rumah anak yatim dan bersahabat dengan Hayya, gadis kecil Palestin. Namun, hubungan mereka diuji apabila keselamatan rumah anak yatim tersebut terancam.
Barisan pelakon turut menampilkan Amna Shahab sebagai Hayya, Azamy Syauqi sebagai Gaza, Cut Syifa sebagai Rafah Shafira, Oki Setiana Dewi sebagai Ustazah Dewi, Adhin Abdul Hakim sebagai Adhin dan Fauzi Baadila sebagai Rahmat.
Filem Hayya 3: Gaza akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober 2025.




