Ikuti Kami:

Filem “Gayong” Menembusi Pasaran Amerika Latin

Filem “Gayong” Menembusi Pasaran Amerika Latin

Filem aksi tempatan Gayong terus mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan bakal ditayangkan di 33 buah negara di Amerika Latin melalui platform penstriman atas talian (OTT).

Penerbitnya, Eric Ong dari SOL Pictures berkata kejayaan ini adalah hasil daripada usaha promosi yang dijalankan oleh wakil pemasaran antarabangsa syarikatnya semasa menghadiri Festival Filem Cannes baru-baru ini.

“Wakil pemasaran kami, Movie Move, berjaya menarik minat pembeli dari Amerika Latin yang amat tertarik dengan filem berunsur seni mempertahankan diri Asia, termasuk silat. Mereka menganggap Gayong sebagai sebuah karya yang berkualiti dari segi jalan cerita dan produksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Filem Gayong, yang diinspirasikan daripada kisah mahaguru dan pengasas silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, diarahkan oleh Faisal Ishak dan menampilkan pelakon terkenal seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon aksi dari Indonesia, Yayan Ruhian.

Menurut Eric, perjanjian tayangan masih dalam proses dimuktamadkan, namun beliau mengesahkan tayangan hanya akan dibuat melalui platform OTT dan tidak membabitkan tayangan di pawagam.

“Meskipun belum ada tarikh tayangan rasmi, kami sangat berbangga kerana Gayong mendapat kepercayaan untuk dipasarkan di rantau Amerika Latin. Ini membuktikan bahawa filem tempatan serta warisan seni bela diri Melayu mampu menarik perhatian antarabangsa,” ujarnya lagi.

Filem Gayong kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sejak 8 Mei lalu, manakala penonton di Singapura akan dapat menonton filem ini bermula 22 Mei.

Komen
Loading...