Ikuti Kami:

Filem Emosi ‘Babah’ Angkat Pengorbanan Seorang Ayah, Ditayangkan Bermula 5 Disember 2024

Filem Emosi ‘Babah’ Angkat Pengorbanan Seorang Ayah, Ditayangkan Bermula 5 Disember 2024

Filem terbaru dari Nads Media Entertainment, Babah, dijangka menyentuh perasaan penonton di seluruh negara apabila ditayangkan bermula 5 Disember 2024.

Menampilkan tema kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah, filem ini mengisahkan cabaran dan perjalanan hidup Isyak (lakonan Qi Razali) bersama anak perempuannya, Maya (Sweet Qismina), dalam menghadapi pelbagai rintangan hidup.

Kisah Babah diinspirasikan daripada dua video viral yang menyentuh hati masyarakat, di mana seorang ayah membuat persembahan pada majlis perkahwinan anak perempuannya dan seorang wanita yang bertarung nyawa akibat Sindrom Guillain-Barre (GBS).

Menurut Nadia Nadzri, idea asal filem ini timbul setelah melihat hubungan mendalam antara seorang ayah dan anak perempuan, yang mencetuskan emosi dan inspirasi bagi menghasilkan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Wan Rafiq, penulis skrip, turut menyatakan bahawa Babah bukan sekadar sebuah kisah sedih, tetapi ingin mengetengahkan elemen rindu yang lebih mendalam.

“Babah membawakan emosi yang bercampur antara gembira dan sedih, sebuah perasaan yang sering kali datang dari kenangan peribadi. Untuk ayah, ia menjadi satu imbauan tentang pengorbanan yang telah dicurahkan dalam membesarkan anak perempuan mereka, dan untuk anak, ia mengingatkan tentang kasih sayang seorang ayah yang tiada tandingan,” katanya.

Mengambil pendekatan naratif realistik melalui konsep sinema verite, pengarah Mohd Shah Faizul Ibrahim berusaha membawa filem ini kepada pengalaman emosi yang autentik.

“Cerita ini sangat dekat dengan diri saya. Selepas membaca skripnya, saya yakin ia naskhah yang perlu diketengahkan,” jelasnya.

Proses penggambaran melibatkan latar masa yang berbeza dari 1990 hingga 2020, memerlukan persiapan khusus dalam props bagi mencerminkan era tersebut dengan tepat.

Filem ini juga berdepan cabaran besar buat pelakon yang perlu melontarkan emosi dengan cara yang natural.

“Konsep verite ini membolehkan mood yang lebih santai tetapi realistik, dan kita berusaha membawa naratif seolah-olah ia pengalaman sebenar,” tambah Mohd Shah.

Menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air, termasuk Cristina Suzanne, Adam Lee, dan Hazama, Babah dijangka memberikan impak emosi mendalam kepada penonton. Lagu tema filem ini,

“Rahsia Tuhan” nyanyian Noh Salleh, dan “Lagu Cinta” oleh Panji Sakti, juga diharap menyumbang kepada suasana emosi filem.

Sinopsis filem ini mengisahkan perjalanan hidup Isyak dan Maya yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk kehilangan pekerjaan, masalah pendengaran, dan penyakit GBS yang dialami Maya selepas berkahwin.

Sepanjang perjalanan getir ini, Isyak kembali mengambil peranan sebagai penjaga Maya, memperlihatkan ikatan keluarga yang kuat dan kasih sayang sejati antara ayah dan anak.

Filem Babah memberi peluang kepada penonton untuk mengalami naskhah yang menyentuh emosi, menyedarkan tentang erti pengorbanan dan kasih sayang abadi seorang ayah. Jangan ketinggalan menyaksikan Babah di pawagam berdekatan bermula 5 Disember ini.

Komen
Loading...